Wednesday, October 12, 2011

7 bas dari Johor dikesan bawa warga asing dapatkan IC


KUALA LUMPUR, 12 Okt: Dewan Pemuda PAS Johor telah berjaya mengesan 7 buah bas yang dipercayai membawa warga asing menuju ke Putrajaya untuk mendapatkan kad pengenalan.

Kesemua mereka diyakini dibawa masuk ke negara ini oleh pemimpin Umno BN bagi membolehkan mereka didaftarkan sebagai pengundi dalam daftar pemilih untuk mengundi bagi pihak Umno BN pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 akan datang.

Ketua Dewan Pemuda PAS Johor, Suhaizan Kaiat menjelaskan, kesemua bas tersebut telah dikesan dari Johor dan telah sampai ke Masjid Putrajaya pada jam 8 pagi tadi untuk mengambil IC mereka di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Menurut beliau, tidak lama selepas itu, 3 dari 7 buah bas tersebut telah masuk ke JPM bersama sebuah kereta Perdana yang di dalamnya terdapat individu berpangkat datuk.

Sebahagian bas lagi, tegasnya, telah diarahkan keluar dari Putrajaya menuju ke arah yang tidak diketahui disebabkan mereka menyedari Pemuda PAS mengekori mereka dan ini jelas merupakan helah penghianat negara.

Katanya, setelah cerita mengenai 7 buah bas yang membawa warga asing untuk mengambil IC di JPM itu dimasukkan oleh beliau ke dalam Facebook, mereka telah lari masuk ke dalam hutan di Kajang.

"Takut juga rupanya mereka. Saya ingat mereka berani sangat. Tindakan para pemimpin Umno BN itu ternyata satu pengkhianatan kepada negara," katanya ketika menghubungi Harakahdaily, hari ini.

Maklumat mengenai warga asing mahu mendapat kerakyatan mudah itu, menurut beliau, telah diterima oleh beliau sejak petang semalam lagi dan sejak itu Pemuda PAS Johor telah berusaha mengesaninya.

"Malam tadi jam 1.00 malam, mereka singah di R & R Pagoh. Bermula di situ skuad pemuda PAS ekori mereka. Jam 6 pagi, mereka sampai di Masjid Putrajaya," katanya.

Hasil pengesanan yang dilakukan oleh Pemuda PAS, jelasnya, didapati bas-bas yang membawa warga asing untuk mendapatkan IC itu telah diturunkan di Kajang, Selangor.

"Ini jelas manipulator terancam yang dibuat ekoran pendedahan Pemuda PAS. Mereka ternyata pengkhianat yang pengecut," tegas beliau yang juga Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Sejak 3 jam lalu, katanya, kesemua warga asing yang mahu mendapatkan IC mereka itu telah ditempatkan di dalam hutan di Jalan Kajang - Istana Dugang Contry Resout.

Sehubungan itu, beliau berharap agar orang ramai yang mempunyai kelapangan masa berkejar ke tempat itu sekarang untuk beramai-ramai bertanya kepada mereka tujuan kedatangan mereka beramai-ramai ke Putrajaya itu.

"Sekitar 30 minit lalu, penduduk di kawasan itu sedang mengepong kawasan warga asing yang mahu diberikan IC oleh JPN itu," katanya.

Kini, menurutnya, bas-bas yang membawa warga asing itu pula telah keluar dari kawasan resort tersebut dan bas-bas tersebut didapati kosong tanpa penumpang.

"Maksudnya, warga-warga asing tersebut telah ditinggalkan di dalam resort itu. Apa yang mereka buat?" tanya beliau.

No comments:

Post a Comment