Saturday, September 24, 2011

Linda berbasikal untuk kesihatan


Linda memberi aksi menarik sebelum mengayuh
basikal.
BEGITU berhati-hati sekali pelakon Linda Hashim mengeluarkan basikalnya dari kereta dan kemudian memasang tayar sebelum memulakan kayuhan di sekitar Tasik Titiwangsa untuk sesi foto S3, baru-baru ini.

Linda atau Norhazlinda Hashim, 27, berkata, sudah lama dia tidak berbasikal kerana sibuk di lokasi, namun atas permintaan S3, pelakon utama drama bersiri Tudung Ekspress itu sanggup turun padang.


“Dulu Linda memang aktif berbasikal dengan kawan-kawan dari kumpulan berbasikal. Sekarang ini, Linda berbasikal di sekitar kawasan rumah sahaja sebab kesuntukan masa.

“Walaupun sibuk, Linda perlu berbasikal untuk satu atau dua jam kerana ia salah satu cara untuk mengeluarkan peluh,” katanya yang mula jatuh hati dengan sukan berbasikal sejak dua tahun lalu.

Menurut Linda, pada mulanya, dia hanya ikut rakan-rakannya berbasikal dan tidak sangka sukan itu menarik minatnya dan terus membeli basikal mountain bike.

Menariknya kata anak kedua daripada tiga beradik itu, pertama kali dia mengikut rakan-rakannya berbasikal secara berkumpulan di Putrajaya pada waktu malam.

“Linda memang teruja bila berada bersama kumpulan basikal yang terdiri daripada pelbagai usia dan latar belakang tanpa mengira bangsa. Semua yang berkumpul itu tidak mengenali antara satu sama lain, hanya diberitahu menerusi laman web.

“Pertama kali ikuti rombongan berbasikal sejauh 25 kilometer itu, memang penat tapi seronok. Aktiviti itu bukan sahaja baik untuk kesihatan malah ia mengajar kita untuk bekerjasama dan bersabar. Sekarang ini nak sertai aktiviti yang dilakukan sebulan sekali pun susah sebab Linda sibuk,” katanya.

Penggemar pakaian jenama Fox itu berkata, sewaktu aktif berbasikal dia dapat merasakan perubahan pada lengannya yang kelihatan berotot.


Dek penangan sukan berbasikal, sekarang ini jika ternampak kedai menjual basikal, Linda pasti singgah untuk melihat produk terbaru.

“Sekarang ini, Linda sibuk menjalani penggambaran drama Cut Amirah sebanyak 26 episod, terbitan Media Corp dan AMC. Penggambaran dilakukan di Singapura.

“Jadi sesekali bila ada waktu lapang, Linda akan menjenguk ke kedai basikal di sana. Linda boleh habiskan masa satu atau dua jam di kedai itu sebab teruja tengok aksesori basikal. Basikal yang Linda guna ini pun sudah diubahsuai. Macam orang ubahsuai motosikal atau kereta,” terangnya.

Pemegang watak Toh Puan Norashikin Mohd. Seth dalam filem Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba berkata, sejak sibuk dengan penggambaran drama dan filem, dia amat merindui basikal jenama Jammis yang sudah lama dibiar tersadai di rumah.

No comments:

Post a Comment