Thursday, September 29, 2011

Berita gembira buat peminat Maher Zain


JIKA dinyanyi sedikit bait lagu InshaAllah, pasti ramai pendengar boleh meneka siapa gerangan penyanyi asalnya, Maher Zain. Lelaki yang suka bertopi dan berjambang ini mempunyai ramai peminat di negara ini.


Penangan lagu IshaAllah termasuk beberapa lagu lain seperti Thank You Allah, Palestine Will Be Free dan Baraka Allahu Lakuma meresap di jiwa peminat tempatan yang meminati lagu berkonsep ketuhanan. Apa yang mengagumkan, lagunya turut menjadi kegemaran peminat cilik yang mudah menghafal liriknya. 



Tujuan bercerita pasal Maher sebenarnya mahu menyampaikan berita gembira mengenai kehadirannya semula ke sini. Maher sudah tiga kali berkunjung ke Malaysia dan kali terakhir ketika menjayakan persembahan Maher Zain Live In Concert - Mercy To Mankind di Stadium Malawati pada 26 Februari lalu. 

Ketika itu, sambutan diterima cukup hangat sehingga mencecah 7,000 peminat.




Kunjungan Maher kali ini memilih lokasi berbeza di Stadium Perpaduan Kuching pada 19 November nanti dan dijangka mengadakan persembahan jam 8 malam. Konsert dikenali Maher Zain Live In Sarawak dianjurkan Marctensia Concerts.



Dalam kenyataan media yang diemel kepada blogger, tiket berharga dari RM103, RM203 dan RM303 sudah boleh dibeli secara pra-jualan sejak 19 September sehingga 2 Oktober ini. Peminat juga boleh mendapatkan tiket VIP.

Pastinya, kedatangan Maher ke Sarawak dinantikan ramai walaupun Maher sudah tiga kali ke negara ini tapi ini adalah pertama kali beraksi di Sarawak. Diharap peminat yang tidak berkesempatan menyaksikan persembahan di Kuala Lumpur sebelum ini tidak lepaskan peluang untuk hadir pada konsert kali ini.

Bertuahnya Maher kerana ramai pihak yang berminat membawanya ke sini untuk menjayakan persembahan sedangkan artis kita sendiri hanya mampu berangan untuk buat konsert kerana sukar untuk mencari penaja.

Apapun, dipercayai Maher juga mesti teruja untuk bertemu peminat di Kuching.
Mungkin kali ini Maher berikan kelainan atau kejutan dan buktikan dia bukan penyanyi ‘miming’ seperti mana yang pernah dilaporkan media.

No comments:

Post a Comment