Sunday, July 17, 2011

Dari Reformasi Ke Revolusi, Anwar Cuba ‘Mentalibankan’ Malaysia – Ahmad Atory Oleh : Ropikah Ahmad


KUALA LUMPUR, 15 Julai – Tindakan Ketua Pembangkang,  Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sejak kebelakangan ini mengajak rakyat melakukan revolusi setelah reformasi yang sebelum ini dilaungkan gagal diterjemah adalah salah satu cubaannya untuk membawa Malaysia ke arah kehancuran dan ‘mentalibankan’ rakyat khususnya orang  Melayu.
Pengalisis politik tempatan, Profesor Dr. Ahmad Atory Hussein menyifatkan Anwar adalah seorang pembohong yang penuh dengan kepura-puraan dan sanggup menjerumuskan bangsa dan negaranya sendiri ke lembah kebinasaan.
“Idea revolusi ini adalah manifestasi daripada kehabisan taktik politik setelah pelbagai cara dan kaedah yang sebelum ini diaplikasikan gagal untuk mendapat perhatian dari rakyat,” katanya kepada UMNO-Online.
Ujarnya, semasa penubuhan PKR dahulu Anwar melaungkan reformasi dan mengajak rakyat berdemonstrasi tetapi kerajaan dapat membanterasnya maka sekarang taktik sedemikian dilakukan tetapi mengubah kepada revolusi pula.
“Tingkah laku Anwar sekarang sudah tidak karuan ibarat ‘cacing kepanasan’ sehinggakan tergamak melaungkan revolusi yang sepatutnya tidak disebut pun dalam konteks negara demokrasi, masyarakat yang aman dan sejahtera seperti Malaysia hari ini.”
Katanya, laungan revolusi yang dikemukakan Anwar adalah antara taktiknya bagi mengalih perhatian rakyat daripada tertumpu kepada masalah salah laku dan kes mahkamah yang masih berlarutan sehingga kini.
“Revolusi yang dilaungkan Anwar ini adalah satu tuntutan perubahan secara cepat yang menggunakan kekerasan sama ada manusia dan juga senjata bagi menjatuhkan Raja atau kerajaan yang ada sebagaimana yang berlaku di beberapa negara di Timur Tengah.
“Kita pernah melaungkan revolusi iaitu revolusi mental yang meminta rakyat melakukan perubahan dengan cepat dari sudut minda dan pemikiran iaitu daripada lembap dan mundur kepada mental yang maju dan berpandangan jauh. Ia berbeza dengan revolusi yang dilaungkan oleh Anwar kerana revolusi yang Anwar mahukan membawa kehancuran,” katanya.
Terangnya, apa yang berlaku di negara-negara luar tidak boleh disamakan dengan Malaysia apatah lagi Timur Tengah yang kebanyakan negaranya tidak ada sistem demokrasi sebaliknya kebanyakan negaranya dipimpin secara diktator.
“Jangan tiru apa yang berlaku di negara luar sama ada di Mesir atau di Medan Tahrir kerana kebobrokan yang berlaku di negara-negara lain tidak sama dengan apa yang berlaku di Malaysia. Rakyat di sana cukup melarat dengan kesusahan bukan saja untuk mendapat kemudahan asas tetapi juga peluang pekerjaan.
“Saya yakin rakyat Malaysia bukan bodoh sehinggakan mahu menyahut seruan revolusi yang dilaungkan Anwar apatah lagi dengan kemakmuran sekarang yang mahu ditukarkan dengan senjata dan pertumpahan darah.”
Tambahnya, rakyat tahu revolusi tidak sesuai dipergunakan di Malaysia malahan Indonesia yang pernah bangkit menerusi revolusi juga tidak mahu lagi mempergunakannya kerana mereka sedar dengan revolusi lalu negara mereka telah ketinggalan lebih 60 tahun ke belakang berbanding Malaysia sendiri. -MediaUMNO

No comments:

Post a Comment