DRAMA Vanila Coklat telah mempopularkan Izara Aishah kepada peminat drama TV tempatan. Bagaimanapun apabila drama berkenaan akan difilemkan oleh Asia Media Content tidak lama lagi, peminat barangkali tidak akan melihat pelakon ini sebagai pemain watak utama. Menurut Izara, sehingga kini tarikh penggambaran filem berkenaan telah beberapa kali tertangguh dan menyukarkan dirinya merancang jadual lebih teratur.
" Saya hanya akan boleh menunggu sehingga paling lewat pun akhir Ogos ini sahaja," kata Izara menyatakan duduk perkara dan meletakkan syarat.
Menurut si cantik ini, jadual yang padat dan telah dipersetujui sebelum ini membuatkan dia perlu lebih berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan.
"Bermula September ini sehingga tahun depan, jadual saya sangat padat. Hendak atau tidak, memang saya kena dahulukan perkara lain jika penggambaran filem ini masih tertangguh," katanya yang bakal terlibat dalam empat buah filem pada tahun hadapan.
Bagaimanapun menurut Izara, jauh di sudut hatinya, dia memang mengharapkan filem itu diteruskan juga.
"Orang kenal saya melalui judul itu. Sudah tentu saya mahu bersama-sama apabila ia diangkat ke filem.
"Sedih memang sedih juga sebab kami yang menaikkan nama Vanila Coklat itu sendiri. Tetapi kami tidak ada pilihan lain.
"Sebelum ini saya sendiri telah korbankan banyak perkara lain semata-mata untuk filem ini, tetapi kali ini agak sukar kerana saya juga perlu memikirkan komitmen dengan pihak lain juga, " katanya dalam nada kecewa.
Cuba pelbagai
Semakin laris menghiasi drama di kaca TV, Izara juga dalam masa yang sama mahu mencari peluang untuk melakonkan pelbagai watak yang berbeza.
Mungkin tidak mahu dilabel dengan hanya membawakan watak yang sama setiap kali muncul di kaca TV, Izara serius untuk mencuba pelbagai watak.
"Kalau dapat watak antagonis pun saya berminat. Sudah lama juga rasanya tidak membawakan watak antagonis.
"Macam mana nak dapatkan feel jadi orang jahat pun, saya dah lupa," katanya berseloroh.
Sebelum ini, Izara pernah memegang watak antagonis dalam drama bersiri Soffiya dan tidak salah kiranya dia memang dibenci dalam drama tersebut kerana penyampaian yang berkesan.
Walaupun lakonannya mampu meninggalkan kesan, namun dia harus bijak mencatur karier supaya tidak dianggap sombong dan bongkak.
Berdasarkan usia yang muda, biarlah perjalanan seni Izara terus menebarkan ruang yang besar untuk dia mengaut untung.
Ini kerana, sebagai artis baru, jika tidak kena dengan caranya, sekali tersasar dan tersadung, sangat payah untuk kembali menjejak populariti kerana arus persaingan yang sangat hebat hari ini.
Ingatan untuk Izara Aishah!
No comments:
Post a Comment