Soo Wincci berazam ingin cuba berpuasa penuh pada tahun ini. |
PETALING JAYA:Penyanyi dan bekas peserta MasterChef Selebriti Malaysia, Soo Wincci berazam untuk berpuasa penuh tahun ini bagi mendekatkan diri dengan peminat daripada komuniti Melayu beragama Islam sepanjang bulan Ramadan ini.
"Menerusi program MasterChef peminat saya semakin ramai daripada kalangan kaum Melayu dan saya rasa dengan belajar berpuasa saya dapat mendekatkan diri dengan mereka.
"Selain itu, ia juga dapat mencabar diri saya membuat sesuatu perkara baru yang pertama kali ingin berpuasa," ujarnya kepada mStar Online.
Tambah Soo Wincci, walaupun sedar dengan cabaran yang bakal ditempuh sepanjang berpuasa, dia yakin dapat mengharunginya dengan dorongan dan kata-kata semangat daripada rakan-rakan dan peminat.
"Berpuasa itu pasti menjadi suatu perkara yang amat mencabar buat diri saya tetapi kerana ingin menghidupkan semangat perpaduan dikalangan peminat saya teruskan niat ini.
Populariti penyanyi itu meningkat secara mendadak selepas menyertai program masakan berkenaan dan Soo Wincci turut tampil dengan single pertamanya berjudul Terus Teranglah bersama Jow Flizzow.
Dalam pada itu, Soo Wincci berkata, dia turut mendapatkan beberapa tips daripada rakan berbangsa Melayu dan yakin dapat melakukannya.
Katanya, rakan-rakan turut menasihatinya supaya jangan memaksa diri dan berpuasa mengikut kemampuan sebagai permulaan.
"Rakan-rakan banyak jadi pendorong dan semangat inilah yang ingin saya tonjolkan kepada semua peminat dan berharap dapat berpuasa selama 30 hari," katanya.
Sementara itu, Soo Wincci berkata, akaun Twitter miliknya telah meningkat sebanyak 2,000 pengikut dalam masa seminggu dan rata-rata daripada mereka adalah kaum Melayu.
Katanya, dia sangat gembira dengan perkembangan terbaru itu kerana ia adalah bukti dirinya semakin diterima dikalangan peminat bukan Cina.
"Saya harap dengan populariti yang dikecapi kini dapat memberikan manfaat kepada saya untuk melakukan sesuatu yang akan disukai oleh semua kaum di Malaysia," katanya.
No comments:
Post a Comment