Wednesday, July 18, 2012

Rumah Sharifah Shahira di Taman Melawati Dirompak


Umum telah pun mengetahui rumah pasangan pelakon Sharifah Shahira dan Ijoy telah dimasuki perompak pada malam kelmarin. Berita Harian melaporkan rumah pasangan yang terletak di Taman Melawati itu dipecah masuk sekitar jam 10.30 malam dan kejadian itu menyebabkan mereka kerugian RM1500 apabila barang kemas dan sejumlah matawang Indonesia dilarikan perompak.

Ketika kejadian, baik Shira mahupun Ijoy tidak ada di rumah kerana masing-masing ada urusan di luar. Bagaimanapun, tiga orang anaknya ada di rumah bersama orang gajinya. Namun, kesemua mereka selamat kerana tidak diganggu oleh perompak berkenaan.

Ketika dihubungi GUA sebentar tadi, Shira melahirkan rasa syukur kerana anak-anak bersama orang gajinya selamat daripada insiden itu. Jelasnya keselamatan anak-anak lebih utama berbanding perkara lain.

“Saya kerugian kira-kira RM1500 apabila perompak berkenaan melarikan aksesori yang digunakan untuk penggambaran. Mungkin  mereka ingat aksesori itu barangan kemas. Saya memang tidak memiliki sebarang barangan kemas kerana tidak pernah membelinya. Walau apa pun saya rasa bersyukur dan lega kerana anak-anak saya tidak diapa-apakan oleh mereka. Mujur  anak-anak dan orang gaji saya tidak sedar dengan kejadian yang berlaku sebab mereka sudah tidur,” ujar Shira.

Dalam masa yang sama, pelakon dan pengacara ini juga memberitahu dia sebenarnya tidak mahu menghebohkan kejadian ini kepada umum, namun pihak polis telah mengeluarkan kenyataan.

“Saya tak suka hebah-hebahkan perkara ini sebab nanti pasti ada pihak yang buat kenyataan yang tidak sedap didengar. Kalau boleh saya tidak mahu langsung kejadian ini diketahui umum. Namun, pihak polis buat kenyataan terlebih dahulu. Sebagai mangsa, saya hanya boleh katakan, saya dan suami telah ambil langkah-langkah keselamatan yang diperlukan. Kami telah pasang kamera litar tertutup dan rumah kami tetap dicerobohi. Saya terima kejadian ini sebagai qada’ dan qadar,” ujar Shira mengakhiri perbualan.

No comments:

Post a Comment