Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi, mengesahkan Neelofa telah pun memberi persetujuan untuk bersemuka dengan Anzalna Nasir bagi mencari jalan penyelesaian terhadap konflik yang melanda mereka. Pengesahan Zed itu sekaligus menyangkal spekulasi yang mendakwa Neelofa menolak mentah-mentah cadangan pihak Seniman itu.
Dalam masa yang sama, Zed sekali lagi menegaskan penglibatan Seniman dalam konflik Lofa dan Anzalna adalah untuk menjaga reputasi golongan artis. Jelasnya, jika perkara itu diperbesarkan dan dibawa ke mahkamah, pasti konflik itu berpanjangan dan lebih banyak isu lain yang akan ditimbulkan.
"Kita mahu bantu mereka jernihkan keadaan. Kalau boleh biarlah konflik mereka diselesaikan di luar mahkamah. Kalau masuk mahkamah, konflik akan berpanjangan kepada ia pasti mengambil masa yang lama untuk diselesaikan. Bahkan, lebih banyak perkara lain akan didedahkan. Adalah lebih baik mereka mencari jalan untuk berdamai sahaja," ujar Zed.
Sementara itu, Neelofa dalam satu kenyataan kepada sebuah portal berita memberitahu, dia bersetuju menerima permohonan maaf Anzalna seandainya pelakon itu bersetuju menandatangani sepucuk surat yang menyatakan persetujuannya terhadap beberapa syarat yang telah ditetapkan olehnya. Jelas Neelofa, syarat-syarat yang ditetapkan kepada Anzalna itu adalah sebagai jaminan agar aktres itu memohon maaf secara ikhlas dan bukan kerana terpaksa.
Konflik di antara Neelofa dan Anzalna tercetus ekoran daripada penerbitan artikel bertajuk 'Anzalna Bidas Neelofa' menerusi akhbar Berita Minggu bertarikh 10 Jun lalu.
No comments:
Post a Comment