SEJAK hujung minggu lepas, beberapa klip video komedi yang antaranya ‘menyindir’ penganjuran himpunan rakyat Bersih 3.0 dan himpunan Mansuh PTPTN, telah bersebar di Internet melalui laman Youtube.
Secara prinsipnya, penulis tidak ada masalah dengan penayangan dan pembikinan klip video tersebut, walaupun ‘jelas’ kelihatan pembikinannya adalah dengan hasrat tersembunyi untuk menyindir Pakatan Rakyat dan himpunan Bersih 3.0 yang diadakan pada 28 April 2012 lepas.
Tapi penulis ada masalah dengan penglibatan pelakon dan pengacara, Johan atau nama sebenarnya Mohamad Yazid Lim Bin Mohamad Aziz dalam klip video tersebut.
Ini kerana Johan adalah seorang pelakon muda yang mempunyai masa depan yang cerah dalam industri hiburan di Malaysia ini. Gandingannya dengan Zizan dalam beberapa siri realiti komedi, telah terbukti mempunyai kesan yang besar dan mendalam, terutama di kalangan generasi muda hari ini.
Justeru, amat malang sekali untuk pelakon muda ini membiarkan dirinya diperalat pihak-pihak berkepentingan (dipercayai UMNO), berbanding dengan teman seperjuangannya Zizan yang lebih cenderung kepada Pakatan Rakyat – dilihat dari kehadirannya dalam program Countdown bersama Ustza Azhar Idrus di Dataran Shah Alam pada malam sambutan tahun baru 2012.
Katalah apa sekalipun, memang jelas lakonan Johan dalam klip video tersebut bertujuan untuk menyindir Pakatan Rakyat secara halus, terutama dalam babak dimana Johan mengangkat poster yang tertulis perkataan “Batalkan Hutang Motor Kami” (merujuk kepada peminjam PTPTN yang menggunakan wang pinjaman untuk membeli motorsikal), dalam klip video bertajuk “Esok Nak Demo Ni”.
Dan beberapa aksi lain yang jelas menyindir Pakatan Rakyat.
Bahkan nama ‘Bangkang Dari Longkang’ itu sendiri sudah cukup menggambarkan betapa hinanya Pakatan Rakyat di pandangan Johan dan pelakon-pelakon lain dalam sketsa pendek tersebut.
Penulis dengan ini menganjurkan semua penyokong Pakatan Rakyat agar memboikot Johan dan Radio Era di mana dia menjadi penyampai tetap untuk tempoh setahun, sebagai bukti bantahan kita terhadap lakonan Johan dalam klip video tersebut.
Sekarang pun, sudah ada facebooker Pakatan Rakyat yang mahu membuka fanpage untuk memboikot Johan.
Penulis amat berpuas hati kalau diakhirnya nanti, Radio Era menamatkan kontrak Johan kerana kesan dari boikot yang kita jalankan telah menjatuhkan rating stesen radio tersebut yang baru-baru ini kembali di kedudukkan nombor satu, mengatasi Sinar.fm.
Semua tindakan ini penulis yakin akan memberi pengajaran kepada artis-artis lain yang cuba mengikut jejak langkah Johan ini agar memikir kembali tindakan mereka.
Kita tidak sama sekali berniat menyekat kebebasan berkarya artis-artis di Malaysia dengan mengambil tindakan di atas, tapi bila maruah kita diinjak dan dipijak, maka wajiblah kita menyerang balas.
Dan tindakan boikot ini adalah tindakan terbaik.
Di bawah ini penulis paparkan klip video yang dimaksudkan untuk dinilai oleh semua pembaca, sama ada bersetuju dengan penulis atau tidak.
No comments:
Post a Comment