Monday, May 21, 2012

Abang Lori Bantu Linda Onn Majukan Suria FM


Saat membuat keputusan untuk menjejakkan kaki ke Suria FM, terlintas di fikiran penyampai radio popular, Linda Onn sama ada mampukah beliau menaikkan rating pendengar stesen radio swasta tersebut. Namun, setelah menyertai Suria FM sejak tiga tahun lalu, wanita berusia 34 tahun ini membuktikan beliau mampu membawa perubahan kepada stesen radio berbahasa Melayu tersebut apabila segmen ‘Ceria Petang di Suria’ kelolaannya mencipta kejayaan apabila menjadi segmen nombor satu dari segi peratusan peningkatan jumlah pendengar pada tahun ini.

“Kali pertama saya masuk Suria FM, saya bertanya kepada pihak pengurusan berapa ramai pendengar mereka dan mereka memberitahu 690,000 orang saja. Saya tak boleh pandang remeh mengenai perkara itu dan dari situ, bermulalah tugas saya untuk menaikkan jumlah pendengar stesen radio ini. Alhamdulillah, hasil kerja semua warga kerja Suria FM, ia membuahkan hasil,” ujar Linda ketika ditemui pada majlis kesyukuran Suria FM baru-baru ini.

Segmen “Ceria Petang di Suria” menjadi segmen slot petang nombor satu dari segi peratusan peningkatan jumlah pendengar dalam kalangan radio swasta berbahasa Melayu dengan peningkatan sebanyak 25% iaitu 1.5 juta pendengar terkini. Kejayaan tersebut membuatkan Linda berbangga kerana hasil usaha keras mereka berbaloi akhirnya.

“Jika awal-awal dulu jumlah pendengar hanya 200,000 orang saja, lama-lama berlaku peningkatan sehingga 1.5 juta orang. Saya hanya menjadi diri sendiri ketika ke udara dan cuba mencari kelainan sedikit. Saya mengambil pendekatan dengan cuba berada dalam situasi mereka yang baru pulang dari kerja dalam keadaan tertekan dengan kesesakan lalu lintas, hujan dan sebagainya. 

“Jadi, saya cuba fikir kandungan yang menarik untuk dibincangkan. Saya juga akan melakukan pelbagai rujukan untuk segmen saya. Saya bersyukur kerana diberi kebebasan untuk mengendalikan segmen saya. Alhamdulillah, pendengar semua dapat terima perubahan yang saya bawa dalam segmen ini.”

Apabila ditanya mengenai perasaannya dapat mendahului pesaing-pesaing yang lain, pemilik nama Rozlindah Onn ini memberitahu, “Saya tidak berpeluang untuk mendengar program orang lain, jadi saya tidak tahu dari sudut apa saya nak bersaing. Saya juga tidak pernah terfikir untuk bersaing dengan sesiapapun. Saya cuma fikir bagaimana untuk mencipta ‘standard’ saya sendiri,” ujarnya yang begitu gembira dengan pencapaian yang diperoleh.

“Alhamdulillah, jika nak ingat apa yang terjadi sebelum ini, kejayaan ini dah buat saya boleh lupa dengan benda-benda lama. Saya gembira berada di sini dan Alhamdulillah, saya dah dapat pendengar macam saya ke udara waktu dulu.”

No comments:

Post a Comment