Sunday, April 15, 2012

Rita Rudaini: Tanpa anak tentu saya mati (GAMBAR)


Rita Rudaini hanya mendapat kekuatan apabila bersama anak-anaknya selepas diceraikan dengan perit melalui sms

SETIAP pasangan yang berkahwin pastinya tidak lepas daripada ujian demi ujian. Pasang surut hubungan dalam rumahtangga sebenarnya adalah asam garam yang perlu ditempuh oleh setiap pasangan. Namun, setiap yang berkahwin sudah pastinya tidak pernah meletakkan had usia perkahwinan mereka. Tambah pula, bagi mereka yang memang berkahwin atas dasar cinta dan suka sama suka sudah tentunya mengharapkan yang terbaik untuk perkahwinan yang dibina.

Sama juga kisahnya dengan pasangan­ suami isteri Rita Rudaini Mokhtar, 36 dan Aidil Zafuan Abdul Razak, 25 yang kini sedang dilanda kemelut dalam rumah tangga.

Hubungan yang pada mulanya dibina berlandaskan cinta dan kasih, ini semakin goyah apabila si suami berhasrat memfailkan permohonan cerai.

Usia perkahwinan yang baru sahaja mencecah empat tahun pada Februari lalu, ini sudah semakin hampir menemui jalan penamat.

Sehari sebelum menyambut hari lahirnya yang ke-36 pada Rabu lalu, Rita mengesahkan bahawa dia menerima khidmat pesanan ringkas daripada suaminya yang memaklumkan telah membuat permohonan cerai.


Berita yang diterima itu bagaimanapun tidak mengejutkan Rita memandang­kan suaminya telah empat bulan meninggalkan rumah mereka.

Akhirnya, kemarau yang yang tidak sudah- sudah melanda rumahtangga pasangan ini sudah hampir ke kemuncaknya.

Reda menerima takdir yang sudah tertulis buatnya, Rita bersyukur di saat dirinya dirundung duka kedua-dua anaknya, Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Rafqa Arjuna, 2, masih lagi setia mene­mani.

Ketabahan anak kelahiran Kangar, Perlis ini dalam menempuh alam rumahtangga yang sering dihimpit badai sebenarnya terletak pada zuriat yang dilahirkan.

Tidak mahu dilihat lemah di mata anak-anaknya biarpun kedua-duanya masih lagi kecil, Rita sedaya upaya tidak mengalirkan air mata di hadapan mereka.

Saat bahagia ranap begitu sahaja melalui sms yang paling terhina untuk diterima oleh Rita Rudaini
Berat mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Lara di hati Rita seakan dapat dirasai apabila anaknya yang sulung Rayyan seakan-akan tidak mahu berenggang daripada ibunya sepanjang majlis sambutan ulang tahun Rita yang diadakan di Hotel Royal Chulan, pada 11 April lalu.

Biarpun dirinya sedang dilanda derita, namun aktres jelita ini tidak mahu melayan perasaan sedihnya mengenangkan perpisahan yang bakal terjadi sebaliknya cuba mengukir tawa dan menggembirakan diri di samping kelompok keluarga, rakan dan peminat yang selama ini setia menyokong dirinya.

“Sempena ulang tahun saya pada hari ini (Rabu), saya ingin melupakan segala peristiwa pahit dan mahu maju ke hadapan.

“Biarlah selepas ini saya dan anak-anak saya bahagia tanpa derita. Saya hanya ingin tumpukan perhatian kepada anak-anak. Saya janji kepada diri saya sendiri untuk membesarkan anak-anak dalam keadaan sempurna. Sebagai ibu, saya hanya mahu melihat mereka membesar dengan baik tanpa sebarang kekurangan. Tanpa mereka, saya boleh mati,” katanya sebak.

No comments:

Post a Comment