Saturday, April 7, 2012

Pendaraan hidung Cat Farish pulih


Cat Farish sudah mengurangkan beban kerja dengan memberi kepercayaan kepada stafnya untuk menguruskan beberapa perkara.

Hampir seminggu terlantar di hospital, Februari lalu ternyata memberi pengajaran kepada penyanyi dan pelakon, Cat Farish agar lebih menghargai kesihatan diri.

Mengalami pendarahan di hidung dengan teruk, Cat terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selama dua hari sebelum dipindahkan ke wad biasa.

Menurut ahli kumpulan The Fabulous Cats ini, doktor memaklumkan kepadanya bahawa dia mengalami tekanan darah tinggi akibat tekanan melampau.

“Sebelum ini saya terlalu kuat bekerja sehinggakan otak masih bergerak walaupun saya sedang tidur.

“Itulah punca sebenar saya dimasukkan ke hospital selain turut mengalami masalah saluran pemakanan yang sempit,” katanya ketika ditemui di pelancaran program Jom Ke Panggung terbitan produksi miliknya, Fantasy Film, baru-baru ini.

Menceritakan detik terlantar sakit sehingga terpaksa bernafas melalui mulut, menurut Cat, ketika itu dia hanya terbayangkan nasib isteri dan anak-anaknya.

“Ada kalanya saya menangis apabila terkenangkan apa yang akan berlaku kepada mereka sekiranya saya tiada.

“Syukur Alhamdulillah, saya sudah semakin sembuh dan mula menjalani kehidupan yang sihat atas nasihat doktor,” katanya.

Kesan daripada peristiwa tersebut, kata bekas anggota Ruffedge ini, dia mula menitikberatkan soal kesihatan terutamanya bab pemakanan.

“Sewaktu di wad, saya mula sedar akan kepentingan bersenam dan mengamalkan pemakanan yang sihat.

“Kini, saya sudah berpantang ketika makan seperti mengambil daging putih dan tidak mengikut nafsu seperti dulu lagi,” katanya.

Bukan sekadar kesihatan diri, malah kata Cat, dia juga sudah mengurangkan beban kerja dengan memberi kepercayaan kepada stafnya untuk menguruskan beberapa perkara.

“Sebelum ini, hampir lapan tahun saya bekerja sendiri kerana tidak percayakan orang lain gara-gara pernah ditikam daripada belakang.

“Kesannya, saya tertekan kerana perlu membahagikan fokus kepada terlalu banyak benda seperti nyanyian, lakonan dan produksi.

“Mahu tidak mahu, saya terpaksa belajar memberi kepercayaan kepada pekerja supaya dapat mengurangkan beban kerja saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment