Thursday, April 5, 2012

Penangan The Cranberries Tawan Stadium Negara (7 GAMBAR)

Penangan The Cranberries pada The Cranberries Live in Malaysia 2012 membuktikan keutuhan mereka sebagai kumpulan berpengalaman lebih 20 tahun di pentas muzik antarabangsa.
KUALA LUMPUR: Penangan kumpulan rock berpengalaman The Cranberries bukan calang-calang dan mereka membuktikan pengalaman adalah kunci bagi persembahan memukau pada konsert The Cranberries Live in Malaysia 2012 di Stadium Negara, di sini, malam Rabu.

Bersaksikan kira-kira 8,000 penonton, kumpulan dari Limerick, Ireland ini mengikat tumpuan para peminat menerusi 22 buah lagu dalam tempoh hampir dua jam konsert itu.

Tirai persembahan dibuka pada pukul 8.40 malam menerusi lagu klasik berjudul Dreams yang sekaligus melonjakkan keterujaan peminat untuk sama menyanyi.

Jelas sekali, tempoh enam tahun mereka membawa haluan masing-masing sebelum ini seolah menyuntik adrenalin kepada Dolores O’Riordan (vokal), Noel Hogan (pemain gitar), Mike Hogan (pemain bass) dan Fergal Lawler (pemain dram) untuk tampil berbisa di pentas.

Pada kunjungan sulung mereka ke Malaysia, kumpulan ini berjaya mementaskan sebuah konsert yang cukup berbaloi untuk terus diingati, khususnya di kalangan peminat yang sudah sekian lama menantikan mereka beraksi secara langsung di sini.


Bukan sekadar pujian kosong, kualiti muzik The Cranberries dan vokal O’Riordan ternyata bergerak seiring pada kelas yang tinggi.

Ternyata, kembara muzik mereka di pentas cukup mengasyikkan dan menggamit memori di kalangan penonton pada era kemasyhuran lagu-lagu popularnya, biarpun O’Riordan tidak kerap berseloroh dengan penonton.

Di sini, pemilihan dan penyusunan lagu-lagu yang disampaikan adalah bersesuaian. Muzik dan ritma rancak dan perlahan saling silih-berganti, memberikan warna dan keseimbangan secara keseluruhannya.

The Cranberries singgah ke tanah air bersempena promosi album terbaru iaitu Roses, tidak hanya memperkenalkan lagu-lagu baru daripada album keenam itu, tetapi konsert itu menjadi lebih sentimental kerana lagu-lagu lama mereka.


Pada pentas itu juga, muzik baru mereka diperdengarkan kepada penonton buat julung kalinya seperti Tomorrow, Raining in my Heart dan Losing My Mind.

Manakala, satu demi satu lagu lama kumpulan itu termasuk Linger, Wanted, Ode to My Family, Free to Decide, Dreaming My Dreams, Animal Instinct, Ridiculous Thoughts dan Salvation, adalah pelengkap kepada aksi ‘emas’ mereka.

Kemeriahan tersebut mencapai kemuncak apabila The Cranberries tiba pada lagu terakhir yang juga karya keramat mereka, Zombie.

Seperti jangkaan, O’Riordan tidak perlu bersusah-payah mendominasi tumpuan kerana penonton ikut menyanyi dari baris pertama hingga terakhir yang jelas membuktikan lagu tersebut adalah lagenda yang terus hidup di hati peminat.


Penangan The Cranberries pada The Cranberries Live in Malaysia 2012 membuktikan keutuhan mereka sebagai kumpulan berpengalaman lebih 20 tahun di pentas muzik antarabangsa.
Tidak bernoktah di situ, kumpulan ini meninggalkan pentas buat seketika sebelum muncul semula untuk segmen terakhir, encore dengan empat buah lagu lagi.

Mereka melabuhkan tirai konsert dengan sebuah lagi lagu klasik, Promises yang mengukir senyuman dan kepuasan pada peminat dengan hidangan yang ringkas tapi padat pada malam itu.

Seperkara yang cukup manis, mereka tetap gah dan konsisten seperti 20 tahun lalu. Imej pelik O’Riordan yang disulami mutu vokal yang konsisten masih menjadi aset berharga The Cranberries untuk terus utuh sebagai kumpulan malar segar.

Konsert berkenaan dibawakan oleh The Wonderland dan Sevent Media.


No comments:

Post a Comment