SEBELUM bertemu secara empat mata dengan Nur Fatin Liyana Asri, penulis sudah terlebih dahulu mengenali serba sedikit tentang karakter gadis ini menerusi blognya, honeykoyuki.blogspot.com.
Blog tersebut ditemui ketika mencari tentang pengalaman belajar di luar negara. Ternyata penceritaan pengalamannya ketika menuntut ilmu dalam bidang kedoktoran di Bandung, Indonesia ada kelainan. Ia menghiburkan.
Malah penulisannya juga tidak lekang daripada unsur humor yang terbukti menghilangkan tekanan sesiapa sahaja yang membacanya.
Pada sesetengah ekspresi dan persepsi adakalanya bersamaan dengan apa yang dilalui pembaca namun diterjemahkan dengan begitu mudah oleh gadis manis ini.
Justeru tidak hairanlah penulis dan beribu lagi pembaca blog menjadi ‘pengikut’ setia blog bakal doktor ini.
Bayangkan sejak dibuka kepada umum, blog Fatin telah mendapat perhatian kira-kira 500,000 hingga 600,000 pembaca sebulan dan pageview (paparan skrin) sejak tahun 2009 juga telah mencecah ke angka 9.6 juta pembaca!
Kali pertama bersua muka di alam nyata terbukti ada ‘sesuatu’ tentang gadis berkulit cerah ini.
Ini menguatkan lagi keinginan untuk mengenali sisi lain anak kedua daripada empat beradik ini.
Jika tiada yang istimewa, mana mungkin dia mempunyai ribuan pengikut setia walaupun di alam maya.
Nur Fatin Liyana atau lebih mesra dengan panggilan Fatin, 22, yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan ini sejujurnya mengakui penglibatan dalam dunia blog awalnya hanya semata-mata mahu berkongsi pengalaman belajar di negara orang.
“Pada mulanya saya sekadar mahu menulis diari tapi saya sedar tulisan tangan saya agak buruk. Jadi niat untuk menulis diari terpaksa dilupakan.
“Kemudian salah seorang sahabat karib saya mencadangkan agar saya menulis blog/ Lalu terciptalah blog yang bernama honeykoyuki yang pada mulanya berkisar tentang kehidupan saya sebagai pelajar di perantauan,” ujarnya yang hadir di pejabat Utusan Malaysia baru-baru ini.
Blog diberi nama ala Jepun itu telah dinobatkan sebagai Top 6 Fastest Rising People in Google Zeitgeist Malaysia 2011, Top 5 Blog in Google Zeitgeist Malaysia 2011 dan terbaru Best Celebrity Blog in World Blogger and Social Media Award 2012.
Ia merupakan antara pencapaian dalam dunia blog yang tidak pernah sama sekali diduga oleh pelajar tahun empat Ijazah Perubatan, program berkembar antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)-Universitas Padjadjaran Bandung (UNPAD) ini.
“Memang tidak pernah terlintas di hati saya untuk bergelar celebrity blogger. Memang tidak pernah menyangka hasil penulisan pertama saya mempunyai ramai pembaca dan tidak pernah termimpi untuk jadi popular.
“Apa yang saya buat cuma menulis dan tiba-tiba ramai pula yang baca blog saya. Bagi saya tidak ada apa yang terlalu istimewa sebab seperti mereka, saya juga orang biasa cuma mungkin mereka suka blog saya kerana ia santai dan ‘sempoi’.
“Bahasa yang saya gunakan juga santai sehingga pembaca boleh merasai dan terkesan dengan apa yang dibaca,” jelasnya.
Melalui blog tersebut, Fatin berkongsi tentang tip fesyen, resipi, tip kesihatan, kehidupan seharian sebagai pelajar dan pengalaman hidupnya yang gemar mengembara.
Perkara paling mengujakan gadis ceria ini sejak aktif menjadi penulis blog ialah berkenalan dengan ramai orang yang sebelum ini tidak pernah dikenalinya.
Dia juga tidak menafikan dengan adanya blog dia sering bertukar pendapat sekali gus menjadikannya manusia yang lebih baik.
“Kadang-kadang apabila sedang mencari isi blog, saya terjumpa nasihat yang bagus jadi saya kongsikan di blog saya dan secara tak langsung saya juga turut mempraktikkannya.
“Sebenarnya blogging juga mengubah personaliti saya. Saya menjadi lebih terbuka, lebih bersabar dan lebih kuat,” ujar Fatin yang turut berbakat dalam bidang masakan dan pembuatan kek.
Ketika ditanya tentang perasaannya bergelar selebriti, Fatin berkata, hatinya bercampur baur antara risau, gementar dan gembira namun jauh di sudut hati masih beranggapan dia tidak layak digelar selebriti.
“Saya rasa saya tetap sama seperti dulu, seorang penulis blog yang hanya menulis tentang apa saja. Namun saya tetap berterima kasih kepada pembaca blog saya yang tidak jemu-jemu memberi sokongan terhadap saya, memberi semangat untuk terus menulis dan menerima penulisan saya seadanya. Kerana adanya merekalah blog saya menjadi terkenal.
“Kehidupan saya tetap sama yang berubahnya cuma saya menjadi semakin dikenali, malah saya juga sering bertegur sapa dengan pembaca blog di jalanan.
“Sejak bergelar celebrity blogger saya juga diberikan peluang untuk menghadiri majlis besar namun saya harus tahu keutamaan saya,” kata Fatin yang turut mudah mendapat tajaan berbentuk pakaian kerana popularitinya itu.
Prinsip asas kejayaan
“Saya hanya akan buat sesuatu yang saya rasa betul. Saya menulis sesuatu yang saya mahu dan bukan kerana disuruh. Saya menjaga isi kandungan blog saya dan saya akan pastikan ia menarik serta bermanfaat.
“Saya tidak mahu sekadar mengemaskini blog tetapi isinya tidak menarik.
“Saya juga meletakkan hubungan yang baik dengan ahli keluarga terutama ibu bapa kerana mereka penentu kejayaan. Bagi saya, doa dari ibu bapa amat penting untuk menentukan kejayaan
“Selain itu saya juga menjalani hubungan yang baik dengan para doktor (pensyarah) dan semestinya kita dianjurkan untuk menghormati guru kerana mereka yang memberi ilmu kepada kita.
“Saya juga membiasakan diri untuk tidak terlalu mengambil tahu tentang orang lain. Maka atas sebab itulah, tulisan dalam blog saya hanya berkisar tentang kehidupan saya dan saya tidak mahu cari musuh. Siapalah saya untuk mengkritik orang lain,” ujarnya merendah diri.
Fatin yang masih meneruskan latihan kedoktoran di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) juga hanya akan menulis blog pada masa lapangnya sahaja.
Fatin menegaskan dan menasihati penulis blog lain terutama yang terdiri daripada para pelajar agar tahu keutamaan dan tahu juga mengawal diri
“Apabila membuat sesuatu kebaikan, kita mestilah bersungguh-sungguh dan ikhlas,” katanya.
No comments:
Post a Comment