Sunday, March 25, 2012

Wakil Rakyat dan 27 diperiksa di Pusat Hiburan


BANDARAYA MELAKA - Seorang wakil rakyat antara 27 yang diperiksa dalam serbuan dilakukan sepasukan polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri di sebuah pusat hiburan di Melaka Raya di sini, awal pagi semalam.

Wakil rakyat terbabit yang juga pelanggan di premis berkenaan diperiksa ketika serbuan Ops Tapis Pusat Hiburan oleh 14 anggota termasuk dua pegawai, diketuai Inspektor Risikan Operasi dan Tahanan JSJN negeri, Inspektor Mohd Hisham A Rahman, bermula jam 2.40 pagi.

Dalam serbuan itu, seorang ketua pelayan juga dilihat cuba meloloskan diri dengan berlari keluar menuju ke pusat hiburan bersebelahan sebelum dapat dikesan anggota polis, lalu menahannya di tangga premis terbabit.

Tanda tanya kenapa lelaki berusia 24 tahun itu melarikan diri terjawab apabila ujian sari­ngan urin didapati positif dadah jenis methaphetamin dan amphetamine (AMP).

Menurut sumber, enam wanita tempatan, dua wanita warga China dan seorang dari Indonesia turut diperiksa, sementara seorang lelaki ditahan di hadapan premis berkenaan selepas serbuan dilakukan.

“Seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan di hadapan pintu premis tersebut selepas serbuan dilakukan dan hasil ujian urin, lelaki itu, tiga wanita dan lapan lelaki di dalam premis berkenaan didapati positif dadah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Superintendan Md Azmi Othman berkata, seramai 12 orang didapati positif dadah ketika pemeriksaan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1983) dan Seksyen 15(1)(a) akta sama (pindaan 2003).

No comments:

Post a Comment