Thursday, March 29, 2012

Serina Redzuwan sertai MasterChef Selebriti Malaysia


KUALA LUMPUR, 29 MAC 2012: Pelakon Serina Redzuawan akui tertekan selepas dipanggil menyertai pertandingan memasak, MasterChef Selebriti Malaysia yang bakal ditayangkan di Astro Ria (saluran104) mulai 26 Mei ini.

Semuanya kerana memikirkan harapan tinggi daripada penonton yang mengetahui bahawa dia merupakan anak kepada chef profesional, Datuk Redzuawan atau Chef Wan dan kakak kepada juri Masterchef Malaysia pertama, Chef Riz.

Namun, Serina Redzuawan berkata, semuanya itu dijadikan cabaran kepada dirinya untuk melakukan yang terbaik dalam pertandingan masakan tersebut.

"Sebenarnya saya sudah terasa bahangnya sebelum bermulanya program masakan ini lagi.

"Sehinggakan saya tidak boleh tidur malam selepas dipanggil untuk menyertai pertandingan ini.

"Saya takut juga apabila orang memberi harapan tinggi kepada saya hanya kerana latar belakang yang saya ada.

"Namun setelah diberi kekuatan oleh bapa saya dan suami, saya teruskan juga,"katanya yang ditemui dalam rakaman pertama MasterChef Selebriti Malaysia, di Shah Alam, baru-baru ini.

Selain Serina, MasterChef Selebriti turut disertai oleh Tomok, Datuk Fazley, Jehan Miskin, Siti Sarah Raisuddin, Raja Azmi, Dr. Faiz, Azwan Ali, Karl Shafek, Angah Raja Lawak, Farouk Hussien, Juliza Adlizan, Thanuja, Salamiah Hassan, Louisa Chong dan Soo Wincci.

Dalam pada itu, Serina berkata tujuan dia menyertai pertandingan berkenaan bukanlah hendak tunjuk hebat sebaliknya mahu berseronok dan belajar lebih banyak resipi masakan.

"Saya bukan seorang tukang masak profesional seperti bapa dan adik saya, tetapi sekurang-kurangnya saya tahu memasak untuk keluarga saya.

"Antara hidangan istimewa saya adalah Sambal Ikan Bilis, Ikan Stim masak Thailand dan beberapa masakan barat.

"Saya juga bukan mahu tunjuk hebat, cuma saya rasa program ini dapat mendedahkan saya tentang cara masakan yang betul.

"Sudah tentu ianya akan menjadi lebih menarik kerana dapat bersama-sama rakan artis lain untuk sama belajar memasak dan mempersembahkan realiti kebolehan masing-masing,"jelasnya lagi.

Serina yang baru sahaja lepas habis berpantang setelah melahirkan anak kedua, bakal berentap dengan 15 peserta lain untuk memberi sumbangan kepada rumah kebajikan, Malaysian Liver Foundation.

MasterChef Selebriti Malaysia bakal menemui penonton Astro Ria setiap hari Sabtu hingga Selasa jam 9 malam bermula 26 Mei ini.

No comments:

Post a Comment