Monday, March 5, 2012

Projek sambungan LRT 30% siap, ikut jadual (3 GAMBAR)

Kerja pembinaan laluan Ampang, Kelana Jaya babit kos RM7 bilion 30 peratus siap
PROJEK sambungan aliran transit ringan (LRT) bagi laluan Ampang dan Kelana Jaya bersedia untuk beroperasi mengikut jadual pada akhir tahun ini apabila pemiliknya, Syarikat Prasarana Negara Bhd (Prasarana) sudah menyelesaikan semua isu berkaitan pelaksanaannya.

Sehingga kini, kerja pembinaan projek yang dianggarkan menelan kos kira-kira RM7 bilion itu sudah 30 peratus disiapkan, manakala 38 daripada 42 pakej kerja bagi kedua-dua laluan itu sudah diberikan kepada kontraktor yang layak.

Pengarah Urusan Prasarana, Datuk Shahril Mokhtar, berkata pihaknya menjangka untuk menjana RM4 bilion untuk membiayai projek itu tahun ini selepas memperoleh dana bernilai RM3 bilion tahun lalu menerusi terbitan sukuk jaminan kerajaan. 

Beliau berkata, proses menjana dana itu dijangkakan dibuat dalam dua peringkat dengan setiap satu bernilai RM2 bilion, yang berkemungkinan besar akan dilaksanakan menerusi terbitan sukuk. 

“Kita mungkin menjana lebih daripada RM4 bilion bergantung kepada keadaan pasaran,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran projek sambungan LRT Lembah Klang menerusi proses menaikkan Galang Segmen Kekotak (SBG) di Stesen 1 Kelana Jaya, semalam. 


Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Datuk Ir Dr Johari Basri dan Pengarah Pembangunan Projek Prasarana, Zulkifli Mohd Yusoff. 

Shahril berkata, baki empat pakej kerja projek itu yang semuanya membabitkan sambungan laluan Ampang bernilai kira-kira RM2.5 bilion akan diberikan dalam tempoh dua bulan lagi. 

Tegasnya, kos keseluruhan projek itu diyakini menepati unjuran kos awalnya malah mungkin lebih rendah daripada jumlah asal. 

“Kami pasti sesetengah kos akan dapat dikurangkan, justeru yakin projek ini berada pada landasan kukuh untuk menepati bajet asalnya,” katanya. 

Beliau menambah, baki empat pakej kerja yang masih belum diberikan itu membabitkan pembekalan kenderaan rel ringan, pembinaan stesen 12 untuk laluan Ampang, membekal dan mengurus kad akses serta kontrak pembinaan pemerolehan kejuruteraan. 


Projek sambungan LRT Lembah Klang membabitkan pembinaan trek sepanjang 17 kilometer menghubungkan stesen Kelana Jaya ke Putra Heights (laluan Kelana Jaya) dan satu lagi trek sepanjang 17.7 kilometer dari stesen Sri Petaling Ke Putra Heights (laluan Ampang). 

Sambungan untuk laluan Kelana Jaya itu kebanyakannya akan melalui beberapa kawasan tumpuan di sekitar Subang Jaya manakala laluan Ampang pula sebahagian besarnya akan melalui kawasan pertumbuhan rancak di bandar Puchong. 

Laluan Kelana Jaya membabitkan pembinaan 12 stesen baru manakala laluan Ampang pula 11 stesen baru. 

Prasarana menjangka kira-kira 800,000 orang akan menggunakan kemudahan itu setiap hari apabila ia mula beroperasi pada 2014, meningkat daripada 300,000 pengguna sehari ketika ini. 

Ia adalah sebahagian inisiatif penting di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) iaitu meningkatkan tahap pengangkutan awam negara ini. 

Shahril berkata, menuju peringkat akhir sebelum pembinaan, Prasarana berjaya menyelesaikan beberapa isu penting yang menyebabkan berlaku sedikit penangguhan pelaksanaannya.

No comments:

Post a Comment