Monday, March 12, 2012

Malek Noor pilih pakar pediatrik sebagai isteri (10 GAMBAR)

Datuk Malek Noor bekas ahli bina badan negara ini selamat melangsungkan perkahwinannya bersama pakar kanak-kanak Dr Wan Asma Wan Ismail.
KOTA BHARU - Hanya dengan sekali lafaz, bekas jaguh bina badan Asia, Datuk Malek Noor kini sah bergelar suami kepada seorang doktor pakar kanak-kanak, Dr Wan Asma Wan Ismail, pagi ini.

Majlis akad nikah yang berwalikan bapa Dr Wan Asma, Wan Ismail Wan Ahmad, 86, itu diadakan di Penthouse Kelantan Trade Centre (KTC) milik doktor pakar berusia 52 tahun itu.

Malek, 56, melahirkan rasa syukur di atas ikatan yang terbina dan berharap ia adalah perkahwinan pertama dan terakhir baginya.

“Ketika menunaikan umrah 12 Mac tahu lalu saya memohon kepada Allah agar mempertemukan jodoh dengan wanita yang solehah, dan alhamdulillah dimakbulkan.

“Hari ini dipilih bersempena dengan tarikh tersebut,” katanya selepas majlis akad nikah berkenaan yang diadakan kira-kira jam 11 pagi.

Menurut Dr Wan Asma yang juga ibu kepada tujuh anak berusia antara 11 hingga 30 tahun, dia tidak menyangka perkenalan selama tiga bulan akhirnya menyatukan mereka.


Mengimbau kembali detik pertemuannya, Dr Wan Asma berkata dia mula berhubung dengan Malek selepas tidak dapat menghadiri majlis penerangan produk kesihatan di Kota Bharu pada November lalu.

“Saya kemudian menghubunginya untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk tersebut kerana Abang (panggilan mesra untuk Malek) bertindak sebagai duta produk berkenaan,” katanya.

Dr Wan Asma berkata, walaupun jarang berjumpa, telefon menjadi penghubung utama sehingga Malek datang berjumpa ayahnya untuk merisik pada Februari lalu.

Menurut Wan Asma, dia dan Malek masing-masing mempunyai komitmen di Kota Bharu dan Kuala Lumpur.

“Abang akan meneruskan perniagaannya di Kuala Lumpur dan saya akan terus dengan kerjaya di Hospital Pakar Perdana di sini,” katanya.

Dr Wan Asma yang kini mempunyai empat cucu bercerai pada Jun 2009 berharap perkahwinan kali ini kekal dan gembira kerana mendapat restu semua anaknya.









No comments:

Post a Comment