Pementasan teater muzikal KL Energetik yang dikendalikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Linda Jasmine Performing Arts Studio di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur pada malam minggu lalu, penulis menyapa koreografer tarian popular, Linda Jasmine. Penampilan terbaharu isteri kepada pelakon Que Haidar itu, dia kini sedang sarat mengandung tujuh bulan.
Bagaimanapun, Linda yang tidak lokek menguntum senyum masih sudi meluangkan sedikit masa untuk ditemu bual.
“Pembawaan bayi kali ini paling memenatkan! Penat yang lain macam berbanding sewaktu mengandungkan Qhalif dan Ratu dulu,” ujar Linda membuka cerita.
Berbicara lebih lanjut mengenai usia kandungannya yang kini hampir mencecah usia tujuh bulan, kata Linda dia dijangka melahirkan bayi yang sudah disahkan jantinanya perempuan itu pada 1 Mei ini.
“Saya memang mahukan seorang bayi perempuan, jadi sudah tentu selepas membuat imbasan jantina bayi sewaktu berusia lima bulan, saya cukup gembira apabila mendapat tahu saya bakal melahirkan seorang lagi bayi perempuan,” katanya penuh gembira.
Apabila ditanya tentang pemilihan nama bakal bayi perempuannya itu, wanita yang berusia 40 tahun itu mengaku sudah memilih nama untuk anaknya itu, tetapi kata Linda biar ia menjadi rahsia terlebih dahulu. Ulasnya ringkas: “Nama sudah ada tapi biarlah rahsia dulu, nanti tak ada kejutan.”
Bersalin bedah
Bercerita lanjut tentang aktivitinya sepanjang hamil, Linda yang ditanya tentang pengalaman rejim senaman atau tarian tertentu sewaktu mengandung, memberitahu dia cuma mengambil makanan yang seimbang dan senaman ringan untuk memastikan dia dan kandungannya sihat.
“Saya lebih mementingkan tentang cukup minum air, makan vitamin dan makan makanan seimbang selain melakukan senaman yang bersesuaian dengan keadaan saya sekarang,” dedah Linda.
Kemudian sewaktu ditanya mengenai diet yang diamalkan selaku juru latih tarian profesional, dia menegaskan bukan individu yang sesuai untuk bersoal jawab mengenai penjagaan kesihatan yang sempurna.
“Kadang-kadang, saya mengamalkan diet melampau kalau mahu kurus, tapi itu dulu sekarang tidak lagi. Malah saya akui, ketika awal proses kehamilan, saya ada juga menari. Sekarang apabila tengok budak-budak menari terasa gian juga, cuma untuk keadaan sekarang, saya perlu berehat dan tidak melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan kesihatan kami berdua,” jelas Linda lagi.
Saat ditanya tentang kaedah kelahiran bayi yang akan dijalaninya nanti, Linda yang begitu alah terhadap ubat-ubatan terutama pil penahan sakit, memberitahu dia sekali lagi bakal melahirkan anak menerusi teknik pembedahan.
“Secara jujur, saya alah dengan pil penahan sakit. Bayangkan, nanti apabila bersalin saya terpaksa merasa bagaimana perut saya dibedah tanpa sebarang ubat bius. Saya sendiri tak dapat nak bayangkannya,” ujar Linda bersungguh-sungguh.
Linda kemudian secara tiba-tiba memberitahu, hanya satu ‘ubat’ yang paling mujarab untuk membuatkan dia lalai tentang kesakitan yang bakal dihadapi kelak. ‘Ubat’ tersebut adalah sokongan daripada suaminya, Que Haidar sewaktu dia bakal bertarung nyawa di bilik bersalin.
“Sepanjang tempoh hamil, dia banyak tolong saya dan memberi sokongan kepada saya, malah nanti pada waktu bersalin, saya masih memerlukan sokongan suami untuk memberi saya kekuatan melalui fasa bersalin itu. Kemudian, selepas bersalin, Que masih perlu membantu saya kerana dia kena ambil alih tugas menguruskan studio kerana saya perlu berpantang,” bicara Linda bersulam tawa mengekeh sekali gus berterima kasih terhadap pengorbanan yang dilakukan suaminya sejak mereka berkahwin.
Sementara itu, kata Linda kedua-dua permata hatinya, Ratu dan Qhalif juga tidak banyak ragam dan membuat proses kehamilannya kini agak berjalan lancar.
“Ratu macam penyeri, apabila kami pulang ke rumah dia yang akan menghiburkan kami. Menari, menyanyi dan macam-macam lagi. Dia seperti faham bahawa saya sekarang sedang sarat mengandung. Dia tidak banyak songeh dan sememangnya sangat membantu sebagai seorang anak kecil,” cerita Linda bersungguh-sungguh.
Ditanya mengenai persiapan dan persediaan menyambut kelahiran cahaya mata ketiga, menurut Linda, mereka masih belum membeli pakaian untuk bayi perempuannya itu.
“Mungkin kami akan membeli beberapa pasang baju bayi dalam masa terdekat ini. Selebihnya hanya guna balik baju-baju Ratu yang masih elok. Sewaktu majlis melenggang perut tempoh hari pun sudah ada tetamu yang datang dan menghadiahkan kami beberapa set kelengkapan bayi,” tuturnya.
Que cerewet
Beralih kisah kepada pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Drama Anugerah Skrin 2009, Que Haidar sebagai seorang suami dan bapa, dia mengaku berdebar menanti kelahiran cahaya mata keduanya itu.
“Secara jujur, saya tidak kisah jantina anak kami. Asalkan bayi kami sihat dan sempurna sifat,” ujar pemilik nama sebenar Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 33, itu dengan jujur.
Bercerita mengenai ragam isterinya sepanjang tempoh hamil, ujar Que dia masih cuba menjadi seorang suami dan pencinta terbaik buat Linda.
“Linda tak banyak permintaan, tapi dia suka mengeluh seorang diri terutama sewaktu mengandung. Saya kasihan Linda, tapi saya pun kadang-kadang tak tahu bagaimana mahu menolongnya. Dia susah tidur kerana kadang-kadang bayi dalam kandungan bergerak-gerak dan banyak kerja.
“Pendek kata, saya faham kesusahan yang dia tanggung, jadi saya berusaha dengan sebaiknya untuk menjadi suami yang menyokong dia dari segala aspek,” ujar Que yang turut membantu Linda mengendalikan perniagaan studio tarian yang kini sudah beroperasi selama tujuh tahun di Ampang, Selangor.
Dalam pada itu, pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Drama Anugerah Skrin 2009 itu juga kini dikatakan lebih banyak memfokuskan masa bersama keluarga dan begitu cerewet sebelum memberi persetujuan untuk berlakon. Apa alasannya?
“Saya mengaku memang cerewet dan harus lebih selektif terhadap tawaran yang diberikan bukan sebab besar kepala tapi saya perlu betul-betul mempertimbangkan masa yang akan saya salurkan kepada kerjaya yang sepatutnya, tempoh itu saya habiskan bersama keluarga,” jelas Que.
Pelakon filem Lagenda Budak Setan itu juga mengakui sudah banyak menolak tawaran selepas kali terakhir muncul bersama filem Rock 2 arahan Mamat Khalid yang menanti masa untuk masuk panggung.
“Kalau hidup seorang dulu, tak banyak yang kita perlu fikirkan dan semua tawaran kita rembat. Sekarang apabila sudah berkeluarga saya perlu perlahankan rentak.
“Kini, setiap kali mendapat tawaran saya perlu tahu semua aspek. Siapa pengarah, apa watak saya, bagaimana skrip dan berapa bayaran saya. Itu yang menjadi faktor mengapa saya jarang muncul sebagai seorang pelakon lagi,” kata Que tanpa berselindung.
No comments:
Post a Comment