Masih lagi menjalinkan hubungan cinta dengan kekasihnya, Fizz Fairuz, namun pelakon, Almy Nadia akui mahu mengurangkan kemunculan mereka, bersama di majlis hiburan secara terbuka.
Bukan sengaja mahu mengiyakan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan hubungan mereka sudah pun retak menanti belah, sebaliknya , Almy Nadia berkata, dia dan Fizz Fairuz enggan lagi hubungan mereka disensasikan.
"Disebabkan itu, saya rasa lebih baik saya tidak terlalu bersikap terbuka membicarakan mengenai hubungan kami seperti yang pernah terjadi sebelum ini. Cuma,cukuplah orang tahu yang kami masih bersama dan kalau ada jodoh kami akan bersatu jua," katanya yang ditemui selepas sidang media Wanita Inspirasi TV3, baru-baru ini, di Sunway.
Menyambung perbualan, Almy berkata, dia kini mahu memberi tumpuan kepada kerjaya dan kehidupannya dahulu berbanding cintanya.
"Penyertaan saya dalam majlis pelancaran, Wanita Inspirasi TV3 ini merupakan kemunculan pertama saya setelah lebih kurang setahun tidak muncul di acara-acara hiburan sebegini.
"Setahun menghilang, bukan bermakna saya juga berhenti daripada dunia lakonan kerana rezeki saya tidak pernah putus dalam bidang ini. Sebelum ini saya terlalu sibuk dengan hal keluarga dan kini saya muncul dengan azam baru untuk menjadi seseorang yang lebih baik dan disenangi ramai orang," luahnya lagi.
Dalam pada itu, Almy berkata perubahan yang cuba dilakukan dalam dirinya itu datang daripada kekuatan dan semangat setelah membesarkan anak angkatnya, Nur Afrina Darwisya yang sudah dijaganya sejak tiga tahun lalu.
"Saya sudah mula sayangkannya dan bagi saya dialah pemberi semangat yang kuat dalam hidup saya.
"Oleh itu, saya kini dalam proses mendapatkan hak penjagaan kekal daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terhadap anak angkat saya.
"Dalam masa yang sama, saya juga dalam proses mendaftarkannya sebagai anak angkat secara sah di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)," tambahnya lagi.
Almy bakal muncul dalam drama, Cinta Buat Emelda yang akan brada di slot Akasia TV3 mulai 26 Mac ini setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam.
No comments:
Post a Comment