Wednesday, January 11, 2012

Mimie Haris kurangkan aktiviti kerana semester akhir UiTM (8 GAMBAR)

FOKUS...tidak mahu fikirkan soal cinta.
ENTAH apa sebab dan puncanya, bintang kelahiran program realiti, MyStarz LG, Norshamini Ahmad Haris atau lebih dikenali sebagai Mimie Haris bagaikan hilang dari pentas komersial.

Sejak berjaya mencipta nama menerusi lagu Jatuh Cinta Lagi dan kemudiannya memperdagangkan bakat lakonannya dalam drama siri Kau & Aku, Mimie terus lenyap.

Bagaimanapun, mendengar kembali lagunya diputarkan di radio baru-baru ini, ia bagai memanggil untuk mencari semula gadis berwajah manis ini dan mencoret kembali perkembangannya.

Jelasnya sebaik ditanyakan ke mana perginya nama Mimie Haris hampir dua tahun, lekas gadis berusia 22 tahun ini menafikan persepsi yang kononnya dirinya sudah tidak aktif.

“Siapa kata saya sudah tiada dalam industri. Saya masih aktif dan sibuk menerima undangan persembahan nyanyian, cuma segala aktiviti seni dikurangkan sedikit kerana memberi laluan kepada pelajaran yang masih berbaki satu semester di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Saya perlu meletak sepenuh fokus pada pelajaran kerana sudah beberapa kali ia tertangguh.

“Bagaimanapun saya masih lagi mencuri masa dan ruang bagi menerima tawaran yang saya fikirkan masih relevan dan tidak mengganggu pembelajaran. Umpamanya saya masih lagi mengacarakan rancangan In Trend di TV2 dan kini sudah masuk musim ketiga. Hampir dua tahun saya mengendalikan program itu. 

“Soal nyanyian pula, saya sibuk dalam rangka promosi single kedua dan ketiga yang akan menyusul tidak lama lagi. Alhamdulillah semuanya berjalan mengikut perancangan meskipun terikat dengan komitmen sebagai pelajar,” katanya yang kini sedang menyudahkan Diploma dalam jurusan Muzik dan Vokal.

CERIA...meskipun sibuk dengan pengajian, Mimie masih sempat mengatur langkah keduanya.
Tambahnya lagi, mungkin ramai yang beranggapan dirinya sudah tidak aktif kerana wajahnya tidak lagi mewarnai visual TV selain jauh daripada menerima limpahan publisiti daripada media. 

Namun persepsi itu tidak sekelumit meninggalkan rasa kecewa kerana jelasnya, akan muncul strategi dan percaturan baru sebaik menyudahkan pengajiannya.

“Bohong kalau saya katakan tidak rindu untuk kembali aktif seperti dulu. Namun saya perlu fikirkan soal masa depan dan tanggungjawab saya sebagai seorang anak juga. Keluarga tidak pernah menghalang untuk saya menjadi artis, namun perlu diingatkan yang mereka juga amat berharap untuk saya menghabiskan pelajaran. 

“Bagaimanapun saya tidak pula rasa tertinggal atau tersisih jauh dari industri kerana walaupun sibuk dengan kuliah dan tugasan harian, saya masih lagi berulang-alik mengendalikan program In Trend dan sibuk mengatur strategi untuk mempromosikan lagu baru. Mungkin saya kurang tampil di dada media membuatkan ramai beranggapan saya sudah tiada.

“Percaya atau tidak, saya masih lagi menerima tawaran untuk berlakon walaupun kurang publisiti. Alhamdulillah masih ramai pihak produksi yang ingat dan percaya dengan hasil kerja saya. Namun, semuanya terpaksa saya tolak memandangkan komitmen berlakon yang panjang dan akan mengganggu masa kuliah. 

“Tambahan pula ketika ini saya sibuk dengan pelbagai tugasan di universiti. Setiap hari ada saja kerja dan tugasan hingga ada kalanya saya rasa bagai tidak cukup masa dalam sehari. 

KOMITED...kematangan terserlah dalam projek
 terbarunya.
“Insya-Allah saya akan kembali aktif berlakon dan menyanyi seperti dulu sebaik tamat pengajian nanti,” katanya yang muncul setiap Sabtu jam 1 tengah hari di TV2 menerusi In Trend. 

Mimie juga anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini akan muncul dengan lagu Kakiku Kaku sentuhan komposer muda, Manusia Putih dan kemudiannya dengan lagu ketiga berjudul Sastera Kupu-Kupu. Kelainan yang ada kali ini jelasnya, genre dan jalur melodi pada kedua-dua lagu ini jelas menggambarkan kematangannya.

“Kedua-dua lagu ini sesuatu yang berbeza daripada saya berbanding lagu Jatuh Cinta Lagi baik dari aspek nyanyian mahupun melodinya secara keseluruhan.

“Saya lebih yakin dan selesa untuk menyampaikan lagu berentak balada pula yang mana akan memberikan penekanan pada vokal dan kekuatan nyanyian saya. Mungkin sudah tiba masanya untuk saya mencari satu identiti sendiri bagi mengukuhkan lagi profil diri sebagai penyanyi lebih-lebih lagi dengan pengalaman yang masih hijau dalam industri ini.

“Saya yakin peminat yang tidak henti menyokong kerjaya seni saya selama ini dan sentiasa menantikan kemunculan saya akan dapat merasai kelainan yang cuba disuntik ini,” katanya. 

Perlahan-lahan persoalan peribadi disogok. Tatkala bertanyakan soal kekasih dan cinta yang ada dalam jiwanya, tangkas anak bongsu daripada tiga beradik ini menepis dan mengelak untuk mengulas lanjut. 

Jelasnya, berilah ruang untuknya membuktikan bakat yang ada dan mempamerkan wajahnya di pentas seni tanpa ada soal peribadi yang diperjudikan. 

“Saya masih sendiri dan tidak pernah terfikir untuk berkongsi soal peribadi kepada khalayak. Bukan sombong atau tidak mahu bercerita namun saya tidak mahu kisah peribadi seperti ini akan mengganggu apa yang sudah saya rancangkan. 

“Biarlah saya meletak sepenuh fokus kepada kerjaya yang baru hendak bermula terlebih dulu. Insya-Allah jika ada jodoh dan rezeki, pasti saya akan berkongsi bersama peminat nanti,” katanya.






No comments:

Post a Comment