Monday, January 9, 2012

Liwat II: Mahkamah bebaskan Anwar, Najib pula? (8 GAMBAR)




Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memutuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah diatas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.


“Mahkamah tidak boleh memastikan sama ada sampel DNA telah diusik.

“Oleh itu tertuduh dibebaskan,” kata  Hakim Mahkamah Tinggi,  Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah, semasa membacakan keputusan kes itu.

Buat seketika ramai yang terpegun kerana tidak mempercayai apa yang disampaikan itu tetapi akhirnya ribuan penyokong Anwar Ibrahim di luar mahkamah bersorak gembira apabila keputusan tersebut disah dan diumumkan oleh Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Keputusan tidak bersalah mengundang emosi ribuan yang hadir.

Exco Kerajaan Negeri Selangor, Elizabeth Wong dilihat menitiskan airmatanya, apabila mendapat tahu mahkamah membebaskan Anwar dari pertuduhan liwat.

Begitu juga dengan makcik-makcik dan anak-anak gadis yang turut bersama-sama berhimpun di luar mahkamah bagi menunjukkan solidariti kepada mantan timbalan perdana menteri itu.

Anak-anak muda bersorak kegembiraan merayakan keputusan mahkamah yang dianggap sebagai kemenangan rakyat.
NONE

Najib bersih konspirasi?

Semenjak awal bermulanya kes liwat ini, Datuk Seri Najib Razak – pada ketika itu timbalan perdana menteri, dikaitkan.

Kes tersebut timbul selepas Saiful Bukhari bertemu dengan Najib. Ahli parlimen Pekan itu juga seringkali berdolak-dalik apabila ditanya oleh wartawan mengenai Saiful.

Ada ketika, beliau berkata Saiful bertemunya untuk mengadu diliwat Anwar, apabila diasak oleh wartawan pada sidang akhbar lain, Najib berkata Saiful bertemunya untuk meminta sokongan bagi mendapatkan biasiswa pendidikan.

Bagi organisasi media, mereka tentu tidak akan lupa bahawa, pejabat timbalan perdana menterilah yang menghubungi mereka untuk memaklumkan tentang laporan polis yang dilakukan oleh Saiful Bukhari menuduh Anwar meliwatnya.

Persepsi tentang pembabitan Najib dalam konspirasi liwat ini diperkuatkan lagi apabila gambar Saiful Bukhari bersama Khairil Anas, pegawai khas kepada Najib di hadapan pejabat timbalan perdana menteri tersebar luas di internet.

anwar sodomy saiful bukhari azlan allegations 290608

Walaupun mahkamah membebaskan Anwar dari pertuduhan tersebut, pembabitan Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmanh Mansor dalam konspirasi politik untuk menjatuhkan ketua pembangkang itu masih belum dibersihkan.

Mahkamah Malaysia bebas dan adil?

Sebagai respon kepada keputusan mahkamah berhubung kes Anwar Ibrahim, perdana menteri berkata, ia adalah bukti bahawa sistem kehakiman negara bebas dari campurtangan kerajaan.

Menurut Najib lagi, keputusan mahkamah juga bukti kerajaan tidak terlibat dengan konspirasi politik seperti yang didakwa oleh Anwar.

Presiden kumpulan pendesak Melayu, PERKASA, Datuk Ibrahim Ali yang sekali lagi gagal untuk membawa ribuan penyokong untuk menghalang perhimpunan penyokong Anwar selepas gagal pada perhimpunan BERSIH 2.0 lalu mendakwa ketua pembangkang masih lagi belum selamat.
Kata Ibrahim Ali, jika Saiful kemukakan rayuan, Anwar belum tentu selamat.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu juga mengingatkan kepada penyokong Pakatan Rakyat agar jangan terlalu gembira dengan keputusan mahkamah membebaskan Anwar.

Menurut Mohamad, kes negeri Perak boleh dijadikan iktibar di mana mahkamah mempermainkan mantan menteri besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

NONE

Pada ketika itu, mahkamah membuat keputusan Nizar masih menteri besar Perak yang sah. Dengan pantas kes tersebut dirayu dan mahkamah rayuan membuat keputusan yang bercanggah dengan keputusan mahkamah tinggi.

Masa depan Najib dalam Umno

Keputusan mahkamah membebaskan Anwar dari pertuduhan meliwat Saiful Bukhari mengundang kemarahan golongan “garis keras” atau “hardliner” dalam Umno.

Bagi golongan ini, Najib adalah seorang pemimpin lemah yang seringkali tunduk kepada permintaan pembangkang.


NONE
Keputusan mahkamah membebaskan Anwar dilihat oleh golongan garis keras sebagai kelemahan Najib untuk berhadapan dengan tekanan antarabangsa.

Umum mengetahui bahawa masyarakat antarabangsa terutamanya kuasa besar seperti Amerika Syarikat memantau secara dekat perkembangan kes liwat ini.

Mereka (baca: golongan garis keras) masih lagi merindui zaman-zaman Umno sebuah parti yang benar-benar berkuasa seperti pada zaman Tun Dr Mahathir Mohammad.


Mantan perdana menteri, Tun Abdullah Badawi disingkirkan sebagai presiden Umno kerana dianggap lemah dan tidak mempunyai cirri-ciri seorang pemimpin diktator.



NONE


Najib juga kini mengalami sindrom yang sama. Cuma beliau agak bernasib baik kerana Dr Mahathir tidak mahu mengulangi kesilapan menyerang Pak Lah secara terbuka kerana tindakan tersebut akan menguntungkan Anwar.

Akan tetapi, ini bukanlah jaminan Najib akan mempunyai masa depan yang gemilang dalam Umno. Program reformasi yang digelar transformasi – ingin dilakukan Najib tidak mendapat sambutan golongan garis keras dalam Umno.

Kebangkitan Anwar

Pertuduhan liwat yang dihadapi sedikit sebanyak menjejaskan undi orang-orang Melayu / Islam terhadap Pakatan. Keputusan mahkamah membebaskan Anwar memberikan “rahmat” kepada Pakatan untuk menembusi masuk ke kubu kuat Umno terutamanya di kawasan pendalaman.



Anwar akan menggunakan keputusan mahkamah ini sebagai “modal” untuk beliau masuk ke kubu kuat Umno. Sebagai mantan pemimpin tertinggi Umno, beliau tahu “bahasa” yang sesuai untuk disampaikan kepada penyokong-penyokong kuat Umno.



NONE

Dengan sokongan padu daripada masyarakat Cina seluruh negara, Anwar hanya perlu mendapatkan sedikit lagi peratusan undi Melayu dicampur dengan sedikit kerusi Sabah dan Sarawak untuk membawa Pakatan ke Putrajaya.

Ini yang merisaukan Umno terutamanya golongan garis keras. Mereka tahu tentang kemampuan Anwar. Jika dibiarkan bebas, masa depan BN untuk terus memerintah Malaysia semakin gelap.

Menjelang pilihan raya umum ke-13, politik Malaysia akan menjadi lebih menarik. Pertarungan politik di antara BN dan Pakatan akan menjadi semakin hebat. BN cuba  mempertahankan kuasa manakala Pakatan akan merampas kuasa.

Jika rayuan tidak dibuat oleh pendakwaraya terhadap kes liwat tersebut, pertarungan diantara BN - Pakatan akan berada pada tahap lebih tinggi dan bukan lagi di peringkat politik seks.

BN dan Pakatan akan memperkemaskan dasar masing-masing untuk memenangi undi daripada pengundi atas pagar yang tidak mempunyai kesetiaan kepada parti politik akan tetapi lebih melihat kepada dasar-dasar yang menguntungkan mereka.

No comments:

Post a Comment