KUALA LUMPUR, 6 JAN 2012: Setelah hampir enam tahun tidak beraksi di Anugerah Juara Lagu (AJL), akhirnya penyanyi sensasi Ning Baizura kembali memanaskan pentas AJL 26 menerusi lagu Beribu Sesalan.
Kali terakhir Ning Baizura beraksi ialah pada tahun 2006 menerusi lagu Awan Yang Terpilu. Meksipun beraksi bersama dua lagi penyanyi iaitu Jaclyn Victor dan Shila Amzah, akui Ning Baizura, debaran yang dirasai masih lagi sama.
"Apabila kita tampil sebagai finalis penutup, pastinya kita telah melihat persembahan sebelumnya dan secara tidak langsung membuatkan perasaan takut dan berdebar muncul. Apa yang penting semuanya bergantung pada tenaga masing-masing untuk memberikan sebuah persembahan yang mantap serta persiapan yang cukup amat diperlukan," katanya ketika ditemui selepas sidang media AJL26, semalam.
Terang Ning Baizura lagi, sememangnya rezeki projek 3 Suaranya membuahkan hasil serta rezeki yang melimpah ruah kepadanya.
"Alhamdulillah rezeki projek 3 Suara cukup mengembirakan saya. Saya sendiri tidak menyangka dengan sambutan tersebut dan menerimanya dengan baik. Malah dengarnya projek 3 Suara akan disambung jadi saya tidak keberatan untuk menerima idea berkenaan," katanya lagi.
Menyambung perbualan kata NIng Baizura, menerusi projek tersebut juga membuka mata peminat yang selama ini beranggapan hubungannya dengan Jaclyn Victor tidak mesra adalah satu gosip yang tidak berasas.
"Selama ini ada yang cakap saya dan Jac tidak baik dan bergaduh. Jadi menerusi projek berkenaan peminat dapat lihat sememangnya cerita tersebut tidak berasas. Saya dan dia tidak mempunyai masalah.
Ditanya mengenai sambutan album 3 Suara yang dilihat lebih memberansangkan berbanding album solo terbarunya yang kurang menyengat, kata Ning Baizura itu bukanlah satu kegagalan. Sebaliknya dia akan terus giat mengadakan promosi pada tahun ini. Namun Ning Baizura tidak menafikan sambutan peminat terhadap lagu-lagu bergenre balada masih lagi kuat dan utuh.
No comments:
Post a Comment