Tuesday, December 13, 2011

Pengarah Ombak Rindu kena maki kerana Fauziah! (3 GAMBAR)


Biarpun dihimpit dengan kontroversi demi kontroversi yang dicetuskan oleh penulis novel Ombak Rindu, Fauziah Ashari, selepas karyanya diangkat ke layar perak, filem percintaan arahan Osman Ali itu berjaya mencatat sejarah apabila kutipan tinggi sejak hari pertama tayangan.

Terkini, filem adaptasi novel keluaran Alaf 21 itu mencetuskan fenomena dalam kalangan peminatnya dengan jumlah kutipan sehingga kelmarin meningkat kepada RM6.5 juta dalam masa sembilan hari tayangan sejak ditayangkan 1 Disember lalu.

Menganggap kontroversi yang menghimpit filem Ombak Rindu sebagai salah satu ruang promosi untuk peminat menonton filem itu, Osman bagaimanapun berharap orang ramai tidak membuat tuduhan melulu untuk mengaitkannya dengan isu bayaran royalti kepada penulis novel itu.

Menurutnya, isu tersebut sedikit sebanyak mencalarkan imejnya sebagai pengarah dan juga sekali gus memberi kesan kepada pihak produksi.

“Dari segi filem, kami melalui proses yang betul tanpa menciplak atau menukar cerita yang disampaikan oleh penulis. Namun, apabila timbul isu bayaran, hal ini sudah tersasar daripada tanggungjawab kami.

“Cuma, saya harap pihak-pihak tertentu tidak prejudis dengan penerbitan filem Ombak Rindu. Ada di antara mereka (peminat novel) yang tidak faham dan memarahi saya berikutan isu pembayaran tersebut. Ada yang menelefon dan menghantar mesej menyuruh saya sedar
filem Ombak Rindu mendapat sambutan pun kerana populariti yang ada pada novel tersebut,” katanya kepada Zass.

Mengakui ada menghubungi Fauziah sebelum mengarah filem Ombak Rindu, Osman berkata, penulis novel itu memberikan kerjasama yang baik dengannya apabila diberitahu terdapat perubahan sedikit pada filem tersebut.

“Sebaik sahaja saya ditawarkan mengarah filem ini, perkara pertama yang saya buat adalah membaca novel Ombak Rindu dan kemudian menelefon Fauziah untuk meminta ‘restu’ dia untuk berkarya dengan hasil karyanya.

“Saya juga ada beritahu Fauziah mengenai beberapa perubahan yang terdapat dalam filem itu dan dia boleh terima serta bagi kerjasama yang baik,” katanya.


Pengarah filem Cun ini juga memberitahu, hal pembayaran sagu hati akan diputuskan oleh penerbit sekiranya kutipan yang diterima memberangsangkan.

Menurutnya sebelum ini, penerbit ada menyuarakan kepadanya untuk memberikan bonus kepada semua yang terlibat termasuk penulis novel dan krew produksi sekiranya filem tersebut mencatatkan kutipan yang tinggi.

Namun, setelah isu pembayaran royalti ini dibangkitkan penulisnya, pihak penerbit akan menimbang semula perkara tersebut.

Melihat sambutan yang diterima untuk filem Ombak Rindu di negara ini, Osman turut berhasrat membawa filem ini ke Indonesia.

Sementara itu, tunjang utama filem Ombak Rindu, Maya Karin ketika dihubungi enggan mengulas sebarang komen mengenai kontroversi yang melanda filem lakonannya itu.