Cinta antara pelakon dan pengarah, Ungku Ismail Aziz dan aktres cantik Zarina Zainordin atau Zarina AF2 mulai berputik awal tahun ini selepas masing-masing membintangi drama ‘Syurgamu Ramadhan tahun lalu. Namun hubungan cinta yang disifatkan ‘cinta lokasi’ ini berakhir beberapa bulan yang lalu meskipun sebelum itu masing-masing mengakui bakal menamatkan zaman bujang dalam tempoh dua tahun lagi.
Berkesempatan menemui Ungku Ismail pada sidang media drama ‘Antara Garisan’ Isnin lalu, Ungku Ismail, 26 menganggap perpisahan antara dia dan Zarina sebagai ketentuan takdir dan tiada jodoh antara mereka.
Malah, pengarah drama ‘Antara Garisan’ ini juga tanpa berselindung mengakui hatinya kosong itu sudah diisi dengan kehadiran seorang gadis. Tidak mahu berbicara mengenai siapa gerangan kekasih barunya, Ungku Ismail hanya mampu menyatakan yang kekasihnya itu bukanlah individu yang terlibat dalam dunia seni hiburan.
“Hubungan saya dengan Zarina sudah lama berakhir. Rasanya tidak perlulah saya menjelaskan dengan lebih lanjut sebab dan punca hubungan kami berakhir. Cuma sapa yang saya ingin katakan adalah, ada kebaikan Zarina yang sukar untuk saya terima. Apa kebaikannya? Tidak perlulah saya rungkaikan, biarlah selebihnya saya seorang saja yang tahu,
“Saya sudah tidak mahu mengungkit kisah lalu. Apa yang sudah berlalu biarkan ia berlalu. Sekarang ini saya bersama dengan seseorang tapi dia bukanlah artis atau orang seni,” jelas Ungku Ismail lagi.
Menafikan serik menjalinkan hubungan cinta dengan golongan sesama artis, Ungku Ismail turut menafikan dirinya mengelak dari menjalinkan sebarang hubungan dengan wanita yang terlibat dengan dunia hiburan memandangkan pilihan hatinya kini adalah orang biasa. Sebaliknya apa yang berlaku padanya adalah kebetulan.
“Bukan nak kata serik, mengelak dan tidak serasi bercinta dengan artis wanita. Semuanya itu terpulang pada ketentuan jodoh. Cuma apa yang berlaku pada saya adalah secara kebetulan, bukan sesuatu yang dirancang,
Menyentuh tentang perkembangan kariernya pula, Ungku Ismail kini beralih pada bidang pengarahan drama menerusi drama 13 episod, ‘Antara Garisan’ yang merupakan karya skrip Shahrul Ezad Mohameddin. Drama bersiri arahan bersama dengan Bahri Umararif yang menaratifkan pelbagai sisi kehidupan manusia ini membariskan barisan pelakon handalan seperti Harun Salim Bachik, Fazlina Ahmad Daud, Jasmin Hamid, Sharifah Shahira, Farid Kamil, Jimmy Shanley, Sabrina Ali, Rusdy Ramly, Aziz M. Osman serta ramai lagi dan akan ditayangkan di Astro Ria (saluran 104) pada setiap Isnin, 9 malam bermula 9 Januari 2012.