BANGI - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, siasatan akan dibuat berhubung penyebaran gambar di Internet yang mendakwa seorang lelaki Melayu ‘berkahwin’ dengan lelaki warga asing di luar negara.
“Kita akan siasat kerana kadang-kadang kita pun tidak tahu siapa kerana ada rakyat negara lain pun pakai tengkolok juga.
“Jadi, kita tidak tahu adakah itu penggambaran atau peristiwa sebenarnya. Kita tengoklah dulu,” katanya selepas menghadiri Konvensyen Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, semalam.
Mengulas kejadian dua solat Jumaat dalam satu qariah tanpa kebenaran yang masih berlaku di beberapa daerah di Terengganu, Jamil Khir berkata, kejadian seumpama itu perlu ditangani secara bijaksana oleh Majlis Agama Islam negeri.
“Kalau sekiranya mendirikan solat Jumaat hanya kerana berbeza ideologi dan politik, jadi mungkin menyebabkan Islam itu dipandang begitu berbeza sehingga kerana ideologi politik yang berbeza, kita mendirikan solat Jumaat di tempat berbeza,” katanya.