Wednesday, December 7, 2011

Danial masih mentah wajar terkeluar Masterchef Malaysia

MOHAMMAD Danial Firdaus menganggap dirinya bertuah kerana
masih bertahan dalam Masterchef Malaysia
PERNAH beberapa kali tersenarai dalam peserta penyingkiran dan pernah juga diangkat peserta terbaik dan bersaing seorang diri bersama chef selebriti profesional, Mohammad Danial Firdaus Shaharuddin, 18, masih tidak percaya dirinya masih bertahan dalam program Masterchef Malaysia.

Dia tahu pengalamannya begitu cetek berbanding peserta lain namun semangat dan sikap ingin sentiasa belajar menyebabkan peserta kelahiran Gelugor, Pulau Pinang itu masih bertahan dalam pertandingan masakan realiti pertama di Malaysia itu.

“Memang saya tak sangka dapat bertahan lama dalam Masterchef Malaysia. Kadang-kadang saya fikir sukar untuk bertanding bersama-sama dengan peserta yang lebih tua daripada umur saya. Malah, memiliki pengalaman yang lebih banyak.

“Untuk itu, saya sentiasa bersemangat dan memberikan yang terbaik. Memang saya ingin menang dalam pertandingan ini. Jadi, kritikan-kritikan yang juri-juri berikan menjadi platform kepada saya untuk terus belajar dan memperbaiki masakan saya,” katanya yang merupakan peserta paling muda dalam program Masterchef Malaysia.

Berkongsi pengalaman manis dan pahit sepanjang dalam program ini, luah Danial, dia pernah dikritik hebat oleh juri-juri ketika menyediakan hidangan burger. Ketika itu, dia bersama dua peserta lain terpaksa menyediakan hidangan yang enak dan menarik dalam cabaran penyingkiran.

“Bayangkan kami adalah peserta yang tersenarai dalam cabaran penyingkiran. Jadi, kami perlu bersaing untuk menyediakan hidangan enak dan menarik supaya tidak disingkirkan.

“Ketika mempersembahkan hidangan saya, juri-juri mengkritik hidangan burger saya dan mengatakan esen vanila yang saya letak tidak sesuai dimasukkan dalam hidangan itu. Memang saya rasa akan tersingkir pada masa itu tetapi alhamdulillah saya terselamat,” ungkapnya yang turut menceritakan pengalaman bertanding bersama chef selebriti merupakan pengalaman manis buat dirinya.

Beza antara peserta

Mengenai perbezaan antara peserta lelaki dan perempuan dalam Masterchef Malaysia, kata Danial, peserta lelaki lebih ramai pandai memasak berbanding wanita yang ketara hanya beberapa sahaja yang menonjol.

Tidak lokek berkongsi pandangannya, Danial menganggap Wahidan Ag Supain, 42, dan Arshad Zamir Mohd Azmi, 19, merupakan peserta yang tidak menyerlah tetapi mampu memberikan saingan hebat kepadanya.

“Secara keseluruhan, walaupun Zamir dan Wahidan merupakan peserta yang tidak menyerlah tetapi prestasi mereka sentiasa meningkat dan mereka merupakan antara peserta terbaik.

“Bagi wanita pula, saya melihat Ezani Farhana Md. Monoto dan Amita Tan See Yin memberi saingan kepada saya dan juga peserta-peserta lain,” ujarnya yang bercita-cita untuk sambung belajar dalam bidang masakan atau bekerja di restoran dan hotel terkemuka untuk menimba pengalaman dalam bidang masakan.

Bagi seorang lagi peserta Masterchef Malaysia, Azlina Shah Shaharuddin, 29, dia mengaku menimba pengalaman yang banyak dalam pertandingan itu.

Jika sebelum ini dia memasak dengan teknik yang salah tetapi selepas menyertai Masterchef Malaysia dia mula belajar teknik-teknik yang betul dalam masakan.

“Saya banyak belajar daripada chef-chef. Mereka tidak segan dan jemu memberi ilmu kepada kami. Baru saya tahu sebelum menyertai pertandingan ini saya banyak memasak dengan teknik yang salah. Disebabkan itu hidangan saya rasa lain,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Turut meminta padangan serupa dengan Danial mengenai peserta-peserta wanita dan lelaki yang masih bertahan, kata Azlina, setiap peserta mempunyai kelebihan dan kelemahan.

Apa yang penting, ujar Azlina, mereka sentiasa belajar antara satu sama lain dan berkongsi tip-tip masakan. Namun, dia juga tidak menidakkan saingan getir yang semakin terasa apabila seorang demi seorang peserta tersingkir dalam pertandingan itu.


HIDANGAN berasaskan buah-buahan daripada Danial.

“Jika dilihat dari segi perbezaan peserta lelaki dan wanita. Bagi saya, wanita memasak daripada hati. Kami memang enjoy memasak. Lelaki pula lebih kepada mindset dan mengikut teknik. Namun, semuanya berusaha untuk memberi yang terbaik dalam setiap cabaran,” katanya jujur dan menganggap Ezani dan Felix Tan Pitt Yinn, 24, merupakan peserta Masterchef Malaysia yang paling konsisten.

Tidak mengetahui nasib yang bakal menimpa, Azlina sudah mempersiapkan diri dan merancang untuk mengusahakan katering selepas sahaja Masterchef tamat.

“Rancangan masa depan saya mahu buat katering. Ia lebih kepada katering untuk jamuan-jamuan kecil,” katanya lagi.

Menangis, berpelukan

Menurut salah seorang juri Masterchef Malaysia, Chef Zubir Md. Zain, 45, sejak dari awal pertandingan itu berlangsung sehingga kini, dia tidak menduga bahawa peserta-peserta yang terdiri daripada golongan profesional mampu memasak dengan baik dan menarik.

“Apa yang saya lihat, ramai peserta daripada golongan profesional sangat passionate dalam bidang masakan. Mereka ada inovasi dan kreativiti untuk menghasilkan masakan yang baik. Contoh macam Ezani dan Amita.

“Bagi peserta lelaki pula, saya tak sangka Zamir yang baru berusia 19 tahun yang kini masih belajar dalam bidang kejuruteraan mampu konsisten dan memasak dengan bagus. Brian juga seorang yang kreatif dan minat dalam masakan Perancis. Namun, dia juga mampu memasak masakan Malaysia dengan baik,” katanya yang berkongsi pandangan mengenai peserta-peserta Masterchef Malaysia.

Jelas Chef Zubir, walaupun peserta-peserta Masterchef Malaysia tidak mempunyai asas yang kukuh dalam bidang masakan dan tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang masakan, mereka mampu memasak dengan baik. Walaupun tidak mencapai tahap 100 peratus baik tetapi ia menepati kriteria yang diinginkan.

Ditanya mengenai peserta-peserta yang masih berada dalam Masterchef Malaysia, kata Chef Zubir, masa ramai-ramai dahulu semangat setia kawan peserta dilihat begitu kuat.

“Jika salah seorang keluar mereka akan menangis dan saling berpelukan namun bila peserta semakin sikit semangat berkawan itu agak kurang. Masing-masing bersemangat untuk bersaing dan memberikan yang terbaik untuk mendapatkan wang RM100,000 dan menerbitkan buku masakan sendiri malah gelaran juara sudah diimpikan mereka,” ujarnya lagi.