Monday, December 12, 2011

Ahli Dewan Negara kesal tak dapat hadir upacara Agong (11 GAMBAR)


Anggota Dewan Negara melahirkan rasa kesal kerana tidak diberi peluang menghadiri istiadat keberangkatan balik Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah di Dataran Parlimen, semalam.

Justeru, Senator Mumtaz Md Nawi menegur dan meminta pihak Parlimen memberikan penjelasan berhubung perkara itu kerana tidak memperuntukkan masa supaya anggota Dewan Negara dapat menyertai upacara itu.

"Selaku dua Dewan (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) yang mewakili Duli Yang Maha Mulia dalam sistem pemerintahan negara, saya meminta penjelasan dari pihak Parlimen kenapa kita tidak boleh memanjangkan masa dan takwim Dewan Negara agar anggota Dewan Negara dapat memberi penghormatan kepada Seri Paduka Baginda berdua," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2012 pada persidangan Dewan Negara di Kuala Lumpur.

Apa yang berlaku pagi semalam ialah apabila anggota Dewan Negara yang bersidang tidak berpeluang menyertai majlis di Dataran Parlimen bagi upacara rasmi keberangkatan pulang baginda berdua ke Terengganu hari ini, kata Mumtaz.    

"Saya berharap perkara ini diambil perhatian (memberi masa untuk menyertai upacara rasmi) kerana peristiwa ini berlaku lima tahun sekali dan upacara ini sangat penting," katanya.

Senator Datuk Mustafa Kamal Mohd Yusoff yang juga tidak dapat menyertai majlis itu berkata anggota Dewan Negara sepatutnya diberi peluang dan masa tanpa mengira fahaman politik untuk menghadiri upacara seumpama itu.

"Saya pun tak faham kenapa kami (anggota Dewan Negara) tak diberi masa untuk melakukan demikian sedangkan upacara tersebut berlangsung di dalam kawasan Parlimen," katanya kepada Bernama di lobi Dewan Negara.

Justeru itu, beliau berharap Yang Dipertua atau Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara akan mempertimbangkan agar anggota Dewan Negara diberi masa untuk menghadiri upacara majlis sambutan meraikan Yang Dipertuan Agong ke-14 pagi ini.

Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim pula berkata anggota Dewan Negara perlu memberi penghormatan kepada Yang Di-pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dengan menghadiri upacara rasmi seperti itu kerana ia berlangsung sekali sahaja dalam tempoh lima tahun.

Sehubungan itu, beliau juga turut berharap dapat hadir pada majlis sambutan menyambut Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Sultanah Haminah Hamidun pada upacara rasmi di Dataran Parlimen, hari ini.