SCOTT BASE, Antartika - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin tiba di sini semalam bagi lawatan khas ke Artartika.
Seri Paduka Baginda dan rombongan tiba di benua selatan itu dengan pesawat khas C-17 Globe Master Tentera Udara Amerika Syarikat yang mendarat di Lapangan Ais Pegasus, sebuah lapangan terbang yang dibina di atas lautan ais yang beku pada pukul 1 tengah hari waktu tempatan.
Rombongan itu turut disertai Pengarah Bahagian Alam Sekitar, Kementerian Perdagangan dan Luar Negara New Zealand, Caroline McDonald dan Ketua Eksekutif Antartika New Zealand, Lou Sanson.
Pesawat berkenaan juga membawa sekumpulan 70 petugas lain terdiri daripada para penyelidik dan saintis antarabangsa yang akan melakukan penyelidikan di sekitar kawasan benua itu.
Tuanku Mizan yang disambut Penyelia Perkhidmatan Antartika, David Washer, kemudian dibawa ke Pusat Penyelidikan Scott dalam perjalanan yang mengambil masa 20 minit sambil menikmati pemandangan di sekitar kawasan itu.