Wednesday, November 9, 2011

Tayangan eksklusif Aku Bukan Tomboy


SEPERTI diketahui ramai, pengarah tersohor Datuk Yusof Haslam sememangnya tidak lokek membantu golongan tidak bernasib baik. Sudah acapkali dia melakukan kerja amal bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka.

Selalunya sumbangan dibuat menerusi pemberian wang tunai serta menerusi tayangan amal filem terbitannya bagi mengutip dana untuk pihak yang dibantu.


Tiada noktah untuk usaha itu dan bertempat di hotel terkenal baru-baru ini, Yusuf sekali lagi mengadakan majlis Tayangan Amal filem terbitan syarikatnya, Skop Production Sdn Bhd. Kali ini Yusof membantu mengumpul dana untuk Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Wanita Hulu Klang.

Bukan calang-calang filem yang diberikan kerana beliau mempertaruhkan filem terbaru terbitannya, Aku Bukan Tomboy arahan anaknya, Syamsul Yusof. Menariknya filem ini hanya akan menemui peminat di pawagam pada 17 November, sekali gus membuatkan mereka yang hadir pada malam itu menjadi penonton eksklusif yang terawal menonton.

Sememangnya, aura sentuhan Syamsul yang dibuktikan menerusi filem Khurafat dan KL Gangster sebelum ini ternyata hebat kerana tayangan ini mendapat sambutan hangat daripada mereka yang hadir memenuhi ruang disediakan.

Tambahan pula barisan pelakonnya iaitu Shaheizy Sam, Salina Saibi, Scha Al-Yahya, Hani Harmi serta Syamsul sendiri turut meluangkan masa hadir sebagai tanda sokongan.

Tayangan amal ini dihadiri penaung Perkim, Datuk Tunku Mukminah Jiwa selaku tetamu kehormat dan dimeriahkan dengan pembabitan barisan tertinggi serta ahli jawatankuasa Perkim sendiri. Tidak ketinggalan hadir ialah golongan kenamaan yang memberi sokongan terhadap penganjuran acara yang bermatlamat mulia ini.

Ditemui pada majlis itu, Yusof berkata, ini kali kedua dia bekerjasama menganjurkan tayangan amal untuk membantu Perkim. Beliau tidak pernah berkira untuk memberikan sumbangan serta membantu rumah anak-anak yatim, ibu tunggal dan orang kelainan upaya (OKU) kerana berasa terpanggil untuk membantu.

“Ini adalah tanggungjawab sosial Skop Production serta golongan seni khususnya terhadap masyarakat. Saya sering buat tayangan amal dengan mana-mana pihak yang memerlukan bantuan.

“Misalnya sebelum ini ketika tampil dengan filem bercorak kepolisan, saya buat tayangan untuk mengisi dana polis. Saya juga pernah bantu kutip dana untuk Persatuan Wartawan Hiburan (WHAM).

“Sebenarnya saya bukan sembarang juga berikan persetujuan untuk bantu mana-mana pihak. Sekiranya fungsi mereka betul dan bermanfaat pada masyarakat, barulah saya akan bantu.

“Saya terpanggil bantu Perkim kerana isteri saya salah seorang orang kuat di dalamnya. Apabila dia usulkan perkara ini, saya tak berbelah bagi untuk membantu.

“Bagi saya apa salahnya sesekali saya buat amal kerana dalam hidup kita takkanlah nak fikirkan untung semata-mata. Jika kita membantu golongan begini, rezeki kita akan lebih diberkati. Ini ialah perkara yang perlu dipandang serius dan saya puas hati dengan apa yang dilakukan,” katanya yang memberitahu filem ini adalah hasil ideanya ketika zaman remaja.

Pengerusi Perkim, Cawangan Wanita Hulu Kelang, Datin Dayang Norlia Tan Sri Marzuki melahirkan penghargaan serta berterima kasih dengan kerjasama yang diberikan oleh Yusof dan isterinya. Katanya, Perkim sering mengadakan aktiviti untuk golongan yang dibantu setiap bulan. Justeru, dana yang diperoleh menerusi tayangan ini dapat digunakan bagi menampung aktiviti itu.

“Misalnya bulan puasa lalu kami meraikan anak yatim seramai 400 orang di sebuah kelab di Melawati. Kami mencari rumah anak yatim berbeza supaya semua dapat merasa bantuan yang diberikan. Kos yang diperlukan sememangnya agak tinggi. Setiap dua tahun kami akan buat satu program besar untuk mencari dana.

“Memandangkan Datin Fatimah menjadi naib pengerusi, kami berbincang dengannya dan ternyata beliau bersetuju membantu. Boleh dikatakan hampir enam bulan juga perancangan dibuat untuk merealisasikan perkara ini dan saya gembira kerana ia berjalan lancar. Menerusi unit publisiti, kami bergerak menyebarkan program ini kepada pihak korporat serta ramai pihak dan hasilnya sangat menggembirakan.

“Sebenarnya saya gembira kerana setiap kali mengadakan program, sambutan yang diterima daripada masyarakat begitu menggalakkan. Ternyata ramai yang menyokong kerana sedar sebagai pertubuhan bebas, Perkim perlu mencari dana sendiri tanpa mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata,” katanya menjelaskan acara ini ialah penutup tahun buat Perkim.

No comments:

Post a Comment