KEDUA-DUANYA mempunyai cinta hati, namun Syamsul Yusof, 27, mahupun Scha Al-Yahya, 28, punya prinsip dalam berbicara soal peribadi. Umum mengetahui Scha bakal melangsungkan perkahwinan dengan pengacara dan pelakon, Awal Ashaari tahun depan, manakala Syamsul masih terkunci mulut untuk mendedahkan gerangan si jelita pilihan hatinya.
Namun, anak teruna Datuk Yusof Haslam yang pernah dinobatkan Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-23, tahun lalu tidak menafikan hatinya kini berbunga cinta. Syamsul memilih gadis biasa yang juga pelajar berusia 20 tahun sebagai pilihan hatinya. Dalam diam, hubungan mereka sudah terjalin hampir setahun lalu.
Akuinya: “Saya bukan mahu berselindung atau berahsia, tetapi kekasih hati saya adalah gadis biasa, bukan pelakon atau selebriti. Saya tidak pernah menafikan sudah mempunyai kekasih apabila ada yang bertanya, tetapi biarlah kisah peribadi kami tidak terlalu diuar-uarkan. Saya mahu sedikit kisah peribadi saya disimpan.
“Saya tahu peminat tentu mahu mengetahui perkembangan cerita peribadi seseorang selebriti, apatah kisah cinta, saya hormat permintaan mereka. Tapi, kekasih saya adalah gadis biasa, dia tidak biasa dengan dunia selebriti yang menjadi perhatian umum. Tiba masanya saya pasti memperkenalkannya.
“Dia menjadi pilihan kerana cukup memahami saya dan tuntutan kerja saya sebagai pengarah dan pelakon. Tidak dinafikan, saya sudah bersedia bergelar suami, kalau boleh saya mahu menamatkan zaman bujang secepat mungkin, tetapi nampaknya jodoh belum sampai.
“Saya memang sibuk buat masa ini. Ada misi yang belum terlaksana. Insya-Allah, saya pasti berkongsi dengan peminat apabila tiba masanya,” katanya yang dicalonkan dalam kategori Pengarah Terbaik FFM24.
Malam ini bakal menentukan rezeki Syamsul apakah dua filem arahannya, Khurafat dan KL Gangster yang tercalon dalam 12 kategori membawa pulang kemenangan. Malam Anugerah Cipta FFM24 dirasmikan pada Rabu lalu menyaksikan 10 kategori diumumkan, manakala malam kemuncak Anugerah Perdana FFM24 berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya malam ini.
“Alhamdullilah, walaupun Skop Productions tidak terlalu banyak menerbitkan filem seperti MIG Productions atau KRU Studios, tetapi dua filem, Khurafat dan KL Gangster mendapat 12 pencalonan, sekali gus membuktikan filem Skop Productions semakin berkualiti. Dulu, sukar buat Skop Productions menerima apa-apa pencalonan.
“Saya dan team produksi sangat bersyukur, terasa berbaloi penat lelah selama ini. Soal menang atau kalah adalah rezeki yang sudah tertulis. Bagi saya, ia sudah dianggap kemenangan apabila berada dalam kategori lima yang terbaik. Saya juga bersyukur apabila dicalonkan dalam kategori Pengarah Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem KL Gangster.
“Sebelum ini, ramai yang mengkritik lakonan saya. Dengan kritikan itu, saya bangkit memperbaiki kelemahan diri. Saya anggap kritikan sebagai pembakar semangat. Teruk saya dikritik sebelum ini, tetapi saya sentiasa berfikiran positif.
“Saya akui kecenderungan saya mungkin lebih pada bidang pengarahan tetapi saya tidak pernah memandang ringan terhadap lakonan. Kalau dilihat beberapa filem lakonan saya sebelum ini, semuanya karakter yang berbeza.
“Akhirnya, usaha saya dihargai apabila nama dicalonkan dalam lima yang terbaik. Bukan mudah berentap dengan nama-nama besar seperti Shaheizy Sam, Awie, Remy Ishak dan Zahiril Adzim. Walaupun sedikit kecewa apabila Aaron Aziz dan Ady Putra tidak dicalonkan kerana mempunyai kerakyatan negara luar, tetapi saya anggap mereka sudah mendapat kemenangan besar di hati peminat apabila filem KL Gangster berjaya mencatat sejarah dengan kutipan RM12 juta,” katanya yang kini sibuk mempromosikan filem keenamnya, Aku Bukan Tomboy yang menemui peminat di pawagam bermula Khamis lalu.
Aku Bukan Tomboy, bergenre komedi menampilkan sisi berbeza lakonan Syamsul kerana membawa watak Burn, lelaki lurus bendul. Selain Syamsul, filem berkenaan turut dibintangi Shaheizy Sam, Scha Alyahya, Salina Saibi, Sheera Iskandar dan Zarina Zainoordin, selain dibantu A R Badul, Didie Alias dan Lando.
Scha mahu hadiri kursus perkahwinan
PELAKON Scha mengakui walaupun sentiasa sibuk apabila kerap ke luar negara untuk penggambaran filem dan program TV, tetapi persiapan perkahwinannya tetap diuruskan. Belum ada tarikh muktamad, namun Scha dan kekasihnya, Awal Ashaari dijangka disatukan dalam ikatan suami isteri pertengahan tahun depan.
“Memang terlalu ramai bertanya soal perkahwinan kami, tapi saya dan Awal tidak akan membohongi sesiapa. Belum ada tarikh ditetapkan, tetapi kami merancang melangsungkan majlis pernikahan pertengahan tahun depan. Kami belum sempat ikuti kursus perkahwinan, mungkin dalam masa terdekat ini.
“Saya dan Awal tidak merancang mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran, kami hanya mahukan acara ringkas dan sederhana, tiada istilah `wedding of the year’. Apa yang penting, soal persediaan saya ke arah fasa baru dalam hidup. Perkahwinan mungkin nampak seronok tetapi perlukan persediaan mental dan fizikal. Apabila dua dunia menjadi satu, bagaimana corak kehidupannya. Saya dan Awal kena belajar banyak perkara apabila mahu berkongsi hidup,” katanya.
Meskipun deretan filem tapi rezeki belum memihak pada dirinya untuk dicalonkan dalam FFM24 atau anugerah lain. Akuinya:
“Saya tidak nafikan, kebanyakan watak diterima tidak terlalu mencabar dan bermain dengan emosi menyebabkan nama saya tercicir daripada pencalonan. Bagaimanapun, saya percaya pada rezeki. Seperti pelakon lain yang inginkan watak mencabar, saya juga teringin mahu membawa watak gadis psiko seperti Nasha Aziz dalam filem Trauma. Kebanyakan pengarah dan penerbit melihat saya sebagai gadis gila-gila dan berperwatakan kasar, jadi watak diterima terhad.
Sedikit persamaan dengan watak Dania dalam Awan Dania, watak Farisa dalam Aku Bukan Tomboy lebih bersahaja dan kelakar.
“Datuk Yusof Haslam mengatakan beliau tertarik dengan karakter Dania. Disebabkan itu, beliau hasilkan skrip dan watak Farisa. Bagaimanapun, Farisa dan Dania ada sedikit kelainan. Dania masih menyerlah sifat keperempuanan tetapi Farisa berambut pendek dan tidak memakai secalit solekan seperti tomboy.
“Saya akui dua-dua karakter ini sinonim dengan saya, tetapi kadang kala terbit kerisauan jika tidak mampu membezakan karakter Dania dan Farisa di lokasi penggambaran. Luarannya, saya bukanlah kasar, tapi nampak tough. Bagaimanapun, tunjuk ajar Syamsul banyak membantu. Saya sudah faham kehendak dan sikap Syamsul kerana sebelum ini, kami pernah bekerjasama dalam Evolusi KL Drift 2. Kami berbintang sama, Gemini, jadi saya faham sangat dengan Syamsul,” katanya.
NAMA PENUH: Mohd Shamsul Yusof Haslam
NAMA KOMERSIL: Syamsul Yusof
USIA: 27 Tahun
TARIKH LAHIR: 21 Mei 1984
ASAL: Kuala Lumpur
KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik
PENDIDIKAN: Diploma Penyiaran dari Akademi TV3
DRAMA ARAHAN: Sembilu Kasih, Gerak Khas dan Air Mata Maria
DRAMA LAKONAN: Farah Syakirah
FILEM: Evolusi KL Drift 1 & 2, Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Khurafat, KL Gangster & Aku Bukan Tomboy
PENCAPAIAN: Anugerah Khas Juri untuk filem keberkesanan aksi lasak menerusi Evolusi KL Drift pada Festivel Filem Malaysia ke-21 (FFM21), Pengarah Terbaik FFM23 melalui Evolusi KL Drift 2 & Anugerah Yasmin Ahmad (Anugerah Skrin 2011)
INFO: Scha
NAMA: Sharifah Norazean Syed Mahadzir
NAMA KOMERSIAL: Scha Al-Yahya
USIA: 28 tahun
TARIKH LAHIR: 30 Mei 1983
ASAL: Sungai Petani, Kedah
FILEM: Antoo Fighter, Histeria, Papadom, Evolusi KL Drift 2, Libas, Dimensi Cinta, Aku Bukan Tomboy dan Awan Dania The Movie
DRAMA: Awan Dania (musim pertama hingga ketiga), Bella, Honeyz, Naik Hantu, K.I.T.A Carefree, Prebet Jamilah dan Kelas Kau Maria
PROGRAM: Chopp!, Sehati Sejiwa, Sehati Berdansa 3 dan Kata Kau