Jika diteliti dari asal usul perjuangan mereka, nama Faizal Tahir dan Shahir sememangnya datang dari dua program realiti berbeza iaitu Shahir dari Akadfemi Fantasia, manakala Faizal Tahir pula dari One In A Million.
Malah tidak keterlaluan juga jika dikatakan, kelompok peminat dua penyanyi lelaki popular ini ternyata berbeza.
Ditemui ketika pada sidang media dan majlis pelancaran Anugerah Bintang Popular Berita Harian 25, baru-baru ini, Faizal Tahir dan Shahir mengakui album solo rock mereka itu miliki kekuatan tersendiri yang mampu memberi fenomena baru dalam industri muzik tanah air.
"Bagi saya album rock saya itu nanti merupakan sebuah album yang cukup berani. Berani yang saya maksudkan ialah dari segi muziknya kerana saya mahukan sebuah arus muzik yang lebih kehadapan.
"Tambahan pula saya mahu membawa muzik saya sealiran dengan usia saya," katanya yang dijangka tampil dengam album rock sepenuhnya pada awal tahun depan.
Ditanya, andai kata keberanian album rock berkenaan tidak akan mampu sampai ke jiwa peminat , Faizal Tahir yang menggunakan khidmat Audi Mok dan Omar K bagi penghasilan album tersebut bagaimanapun mengakui itu adalah asalah satu cabaran terhebat buatnya.
"Susah untuk saya ramalkan bahawa album ini nanti akan berjaya. Sekiranya saya mengikut formula seperti mana album saya sebelum ini pastinya ia bukanlah satu masalah besar.
"Tapi saya memang mahu, album ini nanti akan memberi tamparan yang cukup berbeza kerana saya sendiri secara peribadi mahukan arus muzik saya turut berbeza," katanya yang mengagumi keberanian muzik Nicki Minaj dan Lady Gaga.
Sementara itu Shahir pula berkata, album genre rock miliknya itu sudah hampir siap, di mana dia sedang menunggu dua saja lagu untuk disudahkan sebelum sebuah album penuh dapat direalisasikan pada Disember ini.
Lebih istimewa lagi, apabila album berkenaan itu nanti akan menjadi album sulung pertamanya sejak dinobatkan sebagai juara AF untuk musim ke lapan.
"Proses menyiapkan album ini sudahpun memasuki 70 peratus penghasilan. Saya sudahpun merakamkan empat buah lagu dan hanya menanti dua buah lagu saja lagi sebelum ianya dilancarkan Disember ini.
"Kesemuanya lagu baru. Bagaimanapun saya akan tetap menyelitkan dua lagu popular saya iaitu Kebahagiaan Dalam Perpisahan dan Pendam sebagai hadiah paling bermakna buat peminat saya nanti," katanya penuh teruja.
Album berkenaan akan turut mendapat sentuhan Audi Mok dan Edry Abdul Halim sebagai komposer, malah proses pembikinan imej serta kulit album berkenaan sudahpun dilaksanakan yang hanya menunggu masa untuk di pasarkan.