Tuesday, November 1, 2011

MTUC gesa MEF jangan ‘ugut’ pekerja, halang sertai piket


KUALA LUMPUR, 1 Nov ― Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini menggesa Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) supaya tidak mengambil tindakan berunsur menakut-nakutkan pekerja dalam usaha menghalang mereka daripada menyertai piket memprotes pindaan Akta Kerja 1955, Khamis ini.
Badan induk kesatuan sekerja itu juga melahirkan rasa kesal kerana MEF telah mengeluarkan arahan agar tidak menyertai piket atas alasan piket bukan satu bentuk pertikaian perhubungan perusahaan selain melanggar undang-undang lain yang melarang orang ramai berkumpul.
“Saya kesal dengan tindakan MEF yang mengeluarkan surat kepada anggota mereka, di mana anggota mereka (majikan) menggunakan ke atas pekerja-pekerja mereka.
“Saya rasa tindakan ini bersifat mahu menakut-nakutkan pekerja, anggota MTUC... oleh itu kami minta jangan guna surat itu ke atas pekerja,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Halim juga berkata memang benar piket anjuran MTUC bukan tindakan pertikaian perhubungan perusahaan dan oleh itu ia diadakan selepas waktu pejabat atau waktu kerja.
Piket akan diadakan di beberapa lokasi terpilih di seluruh negara iaitu di kawasan Seksyen 15 Shah Alam, Jalan Persiaran Kuala Selangor, Teluk Panglima Garang, Banting; Jalan Barat, Petaling Jaya; Bukit Rajah dan Rawang-Sg Choh dan depan Pearl View Hotel, Prai di Pulau Pinang; Air Terjun, Air Keroh di Melaka (dekat Majlis Perbandaran Melaka dan Jaya Jusco), depan Bangunan MTUC, Ipoh, Perak; Padang Majlis Perbandaran Seremban, Negeri Sembilan, Padang Masjid Negeri, Kuantan, Pahang; depan Kota Baru Trade Centre, Kota Baru di Kelatan; berdekatan bangunan KWSP, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, di tepi jalan di antara lampu trafik depan Hotel Tang Dynasty dan lampu trafik Centre Point dekat Wisma Merdeka, Kota Kinabalu, depat kilang Sime Tyres International Mergong; Jalan Simpang Tiga (depan Bangunan Sultan Iskandar) di Kuching.
Halim berkata MEF dan MTUC merupakan pertubuhan profesional yang sedia mengetahui peranan dan fungsi masing-masing.
“Kalau MEF menggunakan imej korporat, MTUC pula menggunakan hak tenaga kerja untuk mencapai matlamat kami melindungi para pekerja.
“Saya merasakan MEF tidak perlu mengambil tahu jika tidak mahu menyokong kami. Jangan hendak menakut-nakutkan pekerja, saya fikir perkara ini tidak baik dalam semangat tiga pihak,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment