SEPI tanpa banyak publisiti tetapi aura Misha Omar masih menyinar dalam kelas tersendiri. Walaupun tiada dendangan baharu si pelantun Cinta Adam dan Hawa itu tidak pernah berundur dari lapangan seni.
Dalam diam-diam, Misha kini sedang dalam proses menyiapkan album keempat yang mungkin berada di pasaran pada awal tahun depan.
Dirakamkan sepenuhnya di Studio Luncai Emas, album itu dijangka memuatkan lapan buah lagu baru termasuklah Angin Syurga, Indah dan Maharani.
Kata Misha, dia cukup bertuah kerana masih dapat mengimbangi nyanyian dan minat baharunya terhadap lakonan. Bermula sekadar ‘penyeri’ dalam filem, kemudian masuk ke kaca televisyen dengan naskhah komedi yang mampu menambat hati, penyanyi berusia 29 tahun itu sudah mampu diberi kepercayaan untuk menawan hati penonton dengan drama air mata.
Menerusi drama bersiri 13 episod, Qaseh Marissa yang mengisi slot Cindai di TV1 itu, Misha membawa kelainan dalam wataknya berbanding lakonannya sebelum ini. Dalam drama tersebut Misha menjiwai watak pembantu rumah yang tinggal bersama sebuah keluarga kaya. Dia kemudiannya ditabur cinta sebelum menjadi madu kepada majikan sendiri.
“Ini kali pertama saya diberi karakter berat, sepanjang 21 hari di lokasi, derita yang ditanggung oleh Qaseh Marissa berjaya mendera jiwa saya.
“Saya seperti mengalami perubahan drastik dalam hidup sehinggakan ibu sendiri perasan akan perubahan saya. Dia jatuh kasihan dengan karakter yang melekat pada diri anaknya walaupun saya dudah meninggalkan lokasi (penggambaran),” ujar Misha bangga.
Meratapi hidup gadis muda yang terpaksa berdepan hukum dunia gara-gara hidup bermadu, pengisian itu pasti mengingatkan ramai terhadap khabar angin sebelum ini yang pernah mengaitkan Misha dengan suami orang.
“Saya sudah dengar macam-macam cerita tentang madu dan pahitnya hidup bermadu, dalam drama itu sendiri. Walaupun hiburan, ia juga satu iktibar kepada semua,” pintanya usah diungkit cerita sensasi itu.
Berterima kasih kepada pengalaman berteater serta guru lakonan seperti Datuk Rahim Razali, Rosminah Tahir serta Datin Marlia Musa.
“Ilmu yang dikutip dari pentas teater sangat berbaloi dan saya semakin sedar tentang kemampuan lakonan saya. Tapi setiap kali berdialog dengan pelakon senior seperti Shaharuddin Thamby dan Aida Khalida, saya jadi ketar lukut, takut tersalah dialog,” kata Misha.
Disiarkan pada pukul 4.30 petang mulai 8 November setiap Isnin hingga Khamis, drama yang menggunakan lagu tema Detik Antara Waktu nyanyian Misha Omar sendiri itu turut dibintangi Kat dan Erry Putra.