Monday, November 28, 2011

Lisa Surihani berubah jadi jahat dan gedik (VIDEO & 5 GAMBAR)


Jika selama ini kita seringkali melihatnya memegang watak sebagai seorang wanita baik dan lemah-lembut, tidak kali ini dalam filem terbarunya arahan Osman Ali berjudul "Ombak Rindu". Lisa Surihani berjaya membuktikan keupayaannya sebagai seorang aktres dengan membawa watak Mila Amylia, seorang wanita yang begitu mendambakan cinta daripada Hariz yang dilakonkan oleh Aaron Aziz.

Walaupun pasti ada yang akan membenci watak tersebut, aktres berusia 25 tahun ini memberitahu Mila bukanlah watak antagonis dan jika ditonton sehingga penghujung, ramai yang akan mengasihaninya.

"Mungkin dari segi luaran, orang akan melihatnya sebagai watak antagonis tetapi bukan dari dalamannya. Mila Amylia bukanlah seorang yang jahat di sebalik kegedikannya itu. Cuma dia terlalu obses dengan Hariz dan berusaha mendapatkannya walau apa pun yang terjadi," ujar kekasih kepada Yusry Abdul Halim ketika ditemui di majlis pra-tonton "Ombak Rindu" yang berlangsung baru-baru ini.

Apabila diminta mengulas tentang bagaimana dia menghayati watak tersebut dengan berkesan, Lisa memberitahu, "Saya membaca novel tersebut dan mendapatkan pandangan pengarah bagi menyerlahkan lagi lakonan saya.

"Saya perlu memahami siapa sebenarnya Mila Amylia terlebih dahulu. Daripada situ barulah saya boleh mendapatkan mood dan serapkan watak tersebut di dalam diri saya," ujarnya lagi.

"Ombak Rindu" yang diadaptasi daripada novel tulis Fauziah Ashari ini dibintangi Aaron Aziz, Maya Karin, Bront Palarae, Azizah Mahzan serta Zaidi Omar dan akan ditayangkan bermula 1 Disember akan datang.