Golongan Hawa bukan saja berperanan sebagai isteri atau ibu, malah lebih daripada itu kerana mereka turut bertanggungjawab sebagai pendidik dan pembentuk generasi akan datang.
Oleh itu, tidak hairanlah jika tugas pendakwah bukan hanya terletak di bahu golongan Adam, malah digalas sama golongan wanita.
Menyedari kepentingan itu, lahirlah sebuah program realiti, Ustazah Pilihan (UP) terbitan Astro Oasis memaparkan pencarian Muslimah yang boleh dibentuk menjadi ikon Muslimah sejati.
Setiap minggu, mereka akan diberi tugasan tertentu berdasarkan isu semasa dihadapi wanita masa kini.
Antaranya menguruskan sendiri jenazah, mendekati lebih dalam tentang rawatan alternatif Islam dan menyelami isi hati penghuni pusat serenti.
Malam ini, bakal menyaksikan kemuncak apabila empat peserta terbaik yang meneruskan perjuangan akan berentap di pentas akhir.
Mereka yang terpilih adalah Nurul Hidayah Kamarudin (Hidaya), Siti Fatimah Mohd Sharif (Siti), Masfira Hilman (Fira) dan Firuz Akhtar Mohamad Bokhari (Firuz).
Kejayaan mereka melayakkan diri ke pusingan akhir setelah terselamat daripada beberapa sesi penyingkiran pada minggu tertentu.
Peningkatan ketara
Menurut Mudirah (Pengetua) UP, Dr Robiah K Hamzah, secara keseluruhannya beliau menyifatkan kesemua peserta telah menunjukkan prestasi memberangsangkan berbanding pada awal rancangan.
“Ketika program ini bermula, ramai yang masih malu dan tiada keyakinan diri. Sedangkan itu adalah ciri penting sebagai pendakwah.
“Namun, minggu demi minggu perubahan mereka sangat ketara. Malah, markah peserta yang tersingkir tidak banyak bezanya dengan markah mereka yang kekal,” katanya.
Robiah berkata, sepanjang program ini kesemua peserta bukan saja diajar cara yang betul untuk berdakwah, malah penampilan diri dan kemahiran interaksi turut diberi penekanan.
“Kita tidak mahu masyarakat terus menganggap ustazah hanya mengajar di sekolah. Sebaliknya, mereka boleh berdakwah mengikut audiens dan bidang termampu.
“Kita sudah melihat hasilnya apabila ada peserta tersingkir sudah pun mendapat undangan untuk mengadakan ceramah di merata tempat,” katanya.
Menyifatkan keempat-empat finalis mempunyai kekuatan tersendiri, Dr Robiah sendiri sukar meramal siapa yang akan membawa gelaran juara pertama UP.
“Kesemua mereka mempamerkan prestasi konsisten setiap minggu dan perbezaan markah yang tidak jauh beza. Boleh dikatakan, persaingan di pentas ini terlalu sengit.
Menurutnya, penilaian pemenang akan dibuat berdasarkan markah ujian bertulis (40%), kerja lapangan (40%) dan hujahan mereka di pentas akhir atau Raudhah (20%).
“Bagi kerja lapangan, mereka telah ke Songkla, Thailand bagi mengetahui sendiri keperitan pasangan yang terpaksa bernikah di luar negara.
“Sementara, di Raudhah kelak kita akan menilai kesediaan mereka menjawab setiap soalan dan kekuatan olahan hujah berdasarkan visual yang ditunjukkan,” katanya.
Seperti biasa, kesemua peserta akan dibimbing sendiri Dr Robiah dan dua mursyidah (tenaga pengajar), Profesor Dr Muhaya Mohamad dan Ustazah Zawiah Hassan.
Pentas akhir UP akan berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) jam 9 malam ini dan disiarkan secara langsung menerusi Astro Oasis (saluran 106).
UP dihoskan penyampai radio IKIM, Siti Rohani Surani.
Hidaya nekad ubah nasib
Berpeluang menyertai UP adalah kesempa-tan terbaik buat kesemua peserta akhir untuk membuktikan kemampuan mereka sebagai pendakwah.
Berasal dari latar belakang berbeza, bagaimanapun setiap seorang memiliki impian sama untuk bergelar pendakwah wanita yang berjaya.
Bagi Hidaya, berasal dari keluarga sederhana membuatkan dia nekad menyertai UP bagi mengubah nasib kepada lebih baik.
“Keluarga banyak memberi dorongan untuk saya memasuki program ini. Lagipun, saya lihat UP adalah platform yang sesuai untuk saya berdakwah juga.
“Melalui UP, saya belajar bahawa dakwah ini luas dan ada pelbagai cara,” katanya.
Jika diberi kepercayaan menggenggam juara UP, Hidaya mahu menggunakan peluang itu untuk berbakti kepada agama dan masyarakat.
“Saya mahu menjadi ikon terutama kepada golongan muda dengan mendekati mereka. Selain itu, saya ingin membuka mata masyarakat bahawa Islam itu adalah agama yang mudah sebenarnya,” katanya.
Bukan lagi pemalu: Fira
“Menuntut di sebuah universiti terkenal di Mesir membuatkan pergerakan saya sebagai wanita agak terbatas.
“Bagaimanapun, program ini banyak mendidik jiwa saya ke arah yang lebih positif, dan saya menyedari kita tidak boleh terlalu jumud dalam berdakwah,” katanya.
Sekiranya nasib tidak berpihak pada Fira malam ini, wanita berasal dari Johor ini tetap nekad meneruskan perjuangan menjadi pendakwah dikenali.
“Dalam al-Quran sendiri telah menyatakan golongan wanita juga boleh keluar berdakwah dan itulah yang menjadi pegangan saya.
“Walaupun tanpa gelaran juara UP, apa yang lebih penting adalah dakwah saya menang di hati masyarakat,” katanya.
Timba pengalaman baru: Siti
Tidak pernah terfikir akan mara sehingga ke final, Siti pula menyifatkan dia cukup bertuah apabila dapat menimba pelbagai pengalaman baru sepanjang di UP.
“Antara yang paling tidak dapat dilupakan adalah tugasan melihat jenazah dalam pelbagai keadaan dan ketika di penjara.
“Secara tidak langsung, tugasan itu membina kekuatan diri. Ini penting kerana sebagai pendakwah, kita perlu sentiasa bersedia menghadapi apa jua situasi,” katanya.
Sebagai persediaan ke peringkat akhir, menurut Siti, dia dan tiga rakan yang lain sering mengadakan perbincangan sesama mereka.
“Misalnya, kami membina sendiri soa-lan kerana masing-masing tidak tahu jenis soalan yang akan ditanya ketika Raudhah kelak.
“Sedikit sebanyak, cara ini membantu kami memantapkan penyampaian agar juri dan penonton mendapat mesej yang ingin diberikan,” katanya.
Firuz lebih yakin
Sering merasakan dirinya tidak layak untuk bergelar pendakwah, persepsi itu akhirnya dibuang jauh-jauh oleh Firuz setelah menyertai UP.
“Pada mulanya, memang rasa rendah diri apabila memikirkan asas agama saya tidak kuat berbanding peserta lain.
“Namun, di UP saya mendapat kesedaran bahawa berdakwah bagaikan sudah menjadi tanggungjawab saya,” katanya.
Malah, katanya, selama ini dia sudah berdakwah tanpa disedari apabila memuat video kisah nabi yang diceritakannya sendiri di Youtube.
“Sebagai pendakwah, saya berusaha untuk tampil dengan cara sendiri dan tidak terlalu mengikut gaya orang lain.
“Selagi tidak melanggar batas syariat, wanita juga boleh menggunakan kelebihan mereka untuk menyampaikan dakwah,” katanya.