Sunday, November 27, 2011

Bunkface Bikin Hangat Di Jakarta, Indonesia


Tahun 2009 boleh dikatakan tahun kegemilangan buat Bunkface. Ketika itu, kumpulan yang popular dengan lagu ‘Situasi’ dan ‘Revolusi’ ini menjadi rebutan banyak pihak kerana fenomena yang dicetuskan oleh mereka. Kemuncaknya, Bunkface telah memonopoli Shout! Award 2009 apabila meraih anugerah utama, The Ultimate Shout! Award dan dua anugerah dalam kategori muzik iaitu Anugerah Rockstar dan Anugarah Break Out.

Namun, selepas kejayaan itu populariti Bunkface dilihat makin menurun. Walaupun muncul dengan single terbaru, Bunkface gagal meraih perhatian pihak media. Situasi makin sulit apabila vokalisnya, Sam dikhabarkan meninggalkan Bunkface dengan menubuhkan kumpulan baru bernama, The Azenders. Selepas pelbagai spekulasi muncul, Sam akhirnya tampil mengesahkan dia masih bersama Bunkface.

Kini, setelah setahun kontroversi itu berlalu, Bunkface mengorak langkah untuk mencipta kejayaan lebih cemerlang. Selepas menonjol di  Hong Kong Asia Music Festival pada Mac lalu, Bunkface bikin hangat di Jakarta, Indonesia pula.

Bermula 20 hingga 22 November lalu, Bunkface terlibat dengan tiga acara yang membuka laluan untuk lebih dikenali di negara jiran itu. Acara terpenting ialah mereka berpeluang muncul dalam program bual bicara yang cukup popular di sana, ‘Bukan Empat Mata’. Sebelum ini Datuk Siti Nurhaliza dan Amy Search pernah muncul dalam program yang diterbitkan oleh stesen televisyen Trans 7 itu.

Walaupun tidak ditemubual seperti tetamu undangan lain, kemunculan Bunkface boleh dibanggakan kerana mereka berkesempatan menunjukkan bakat yang dimiliki dengan menyampaikan lagu ‘Situasi’ secara akustik.

Menurut Penerbit Bukan Empat Mata, Anto Prakoso, Bunkface diundang ke program itu setelah nama mereka disarankan oleh pihak pengurusannya.

“Memang Bunkface belum begitu popular di sini, tetapi kami mahu beri peluang kepada mereka untuk memperkenalkan diri kepada peminat muzik di sini. Tidak dinafikan program ini agak selektif dalam memilih tetamu undangan, tetapi kami yakin Bunkface ada pengikut mereka di sini. Lagipun, salah satu objektif program ini ialah mahu memperkenalkan artis-artis yang belum punya nama,” ujar Anto.

Sebelum ke Trans 7, Bunkface mengadakan persembahan di Jakarta Urbanfest 2011 yang diadakan di Taman Impian Jaya Ancol dan showcase istimewa di Hard Rock Café. Kedua-dua persembahan ini  mendapat sambutan memberangsangkan walaupun rata-rata peminat yang hadir adalah peminat dari Malaysia. Kehadiran peminat Indonesia mencuri perhatian media yang hadir kerana mereka mampu menghafal lagu-lagu Bunkface dengan baik. Bagi GUA, ini satu petanda baik untuk Bunkface mencipta nama di Indonesia.

Menurut seorang peminat Indonesia yang menyaksikan persembahan Bunkface di Hard Rock Café, Tuti Fatmawati, dia tidak sangka Malaysia mempunyai sebuah kumpulan muzik yang bagus.

“Saya hadir ke sini kerana didesak oleh rakan untuk menemaninya. Saya tidak pernah tahu tentang Bunkface. Kini setelah menyaksikan persembahan mereka, saya jatuh cinta dengan muzik yang mereka bawakan. Kalau mereka sering promo di sini, pasti Bunkface akan mendapat tempat di kalangan anak-anak muda di sini. Saya suka dengan lagu ‘Situasi’,” ujar Tuti.