IPOH - Borang program bantuan khas kerajaan RM500 kepada rakyat berpendapatan isi rumah kurang RM3,000 sebulan yang diumumkan semasa pembentangan Bajet 2012 akan mula diedarkan melalui Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kepada umum secara percuma pada 1 Disember ini.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, kerajaan menggunakan mekanisme itu bagi memastikan setiap isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan berhak menerima bantuan berkenaan.
Beliau berkata, kementerian berkenaan juga menyediakan bilik gerakan sepanjang proses pendaftaran dan pengagihan wang berkenaan yang dijangka bermula Januari depan.
Katanya, pendaftaran akan dibuat melalui LHDN, pejabat daerah atau agensi kerajaan terlibat serta kerajaan akan mengumumkan penerima yang layak melalui media massa.
Ahmad Husni berkata, proses pendaftaran adalah sangat penting dan LHDN juga akan buka bilik gerakan dan kesemua sukarelawan akan membantu sepanjang proses pendaftaran termasuk di kawasan pedalaman.
Oleh yang demikian pihaknya menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dan sentiasa berhati-hati dengan tindakan pihak tertentu yang mengambil kesempatan mengedar borang permohonan palsu.
Beliau berkata, proses pendaftaran haruslah melalui saluran yang betul dan tidak melalui orang tengah.