Wednesday, November 23, 2011

Bayangan Land Rover Defender baharu


TIDAK lama dahulu ada sebuah kereta, lebih tepat kereta itu dikenali dengan nama Proton Saga. Sejarah hidupnya bermula pada tahun 1985 dan sehingga kini masih lagi dijual di bilik pameran.

Sepanjang tempoh 26 tahun itu, hanya dua generasi yang diperkenalkan, generasi pertama ditamatkan pada tahun 2008 dengan pengenalan model baharu sepenuhnya. 23 tahun untuk sebuah model adalah suatu tempoh yang sangat panjang dan merupakan rekod yang saya fikir mustahil dapat dipecahkan oleh model Proton lain.

Begitu juga dengan pengeluar kereta nasional lain, memang tidak mampu terkejar rekod tersebut. Saya tidak pasti sama ada Proton Saga tersenarai atau tidak di dalam Malaysia Book of Records.

Walau bagaimanapun di arena global, produksi yang berlanjutan sehingga berpuluh tahun bukanlah perkara yang aneh. Sudah namanya ekonomi, selagi laris dan diminta oleh pasaran, selagi itulah wujudnya justifikasi kenapa ia tidak harus dihentikan.

Volkswagen Beetle misalnya diproduksikan selama 65 tahun bermula 1938. Antara contoh lain ialah Citroen 2CV yang dihasilkan selama 42 tahun dan Mini pula menjangkau 41 tahun. Kebiasaannya model-model yang malar segar sebegitu mempunyai teknologi yang ringkas. Maka, menjadikannya tahan lasak dan senang diselenggara.

Satu lagi contoh signifikan ialah Land Rover Defender. Model itu begitu banyak digunakan oleh agensi keselamatan terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga digelar sebagai Black Maria.

Defender mula diperkenalkan pada tahun 1983 dan begitu dipercayai oleh pelanggan setianya. Jika tidak, mustahil agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Kementerian Kesihatan dan Jabatan Pertahanan Awam menggunakannya sampai sekarang. Sedangkan banyak lagi opsyen lain terutama sekali daripada pengeluar Jepun.

Andai diperhatikan trend sekarang pula, Defender kini menjadi buruan peminat 4X4. Disebabkan kegilaan tersebut, harga terpakai model itu sudah pun berada dalam kategori mahal.

Untuk model gantian Defender, Land Rover telah siap membina dua buah model konsep iaitu DC100 dan DC100 Sport. Kedua-dua model itu ditampilkan buat pertama kali di Amerika Utara pada Pameran Kenderaan Los Angeles (LA) 2011 yang berlangsung pada 16 November 2011.


Land Rover membawa kedua model konsep itu dengan hajat besar iaitu untuk meninjau maklum balas pasaran serta kemungkinan untuk memasarkan kembali Defender ke pasaran Amerika Syarikat (AS).

Dengan mengambil ciri-ciri pada Defender lama seperti rugged, boleh dipercayai serta mesra pengembaraan, kedua-dua model DC 100 Concept dibina untuk mempamerkan potensi kebolehan famili Defender baharu nanti.

Berbeza dengan model pengenalan pada Pameran Kenderaan Frankfurt pada September lalu, model di LA nanti dipasangkan roda off road bersaiz 20 inci yang digabungkan dengan tayar all-terrain Cooper. Model itu juga turut dilengkapi dengan corong udara snorkel serta rak bumbung.

Model DC100 dihias dengan warna Heritage Blue pada badan dan Candy Weiss pada bumbung. Ciri-ciri rekaan yang menarik seperti overhang singkat bagi menampakkan pendekatan yang ekstrem.

Rekaan panel menegak, cermin hadapan yang hampir lurus dengan garisan bahu yang dominan serta wajah tradisi Defender dengan lampu bulat dan gril yang menonjol dengan winch juga diteruskan pada model ini.

Model DC100 Sport mengambil ciri-ciri utama DC100, tetapi menampilkan imej bebas dengan bumbung kanvas dan cermin hadapan yang boleh dilipat bagi menampilkan gayaan bersahaja California.

Selain ciri-ciri rekaan tersebut, DC100 mempunyai teknologi canggih seperti Terrain Response System untuk mengoptimumkan keupayaan kenderaan tanpa memerlukan pra-seleksi daripada pemandu.

Sistem Terrain-i pula mampu untuk mempamerkan peta pintar di dalam format 3D. Sistem itu boleh mengenal pasti bahaya dan akan mencadangkan laluan alternatif. Pada persekitaran bandar pula, sistem sama berupaya mengesan pejalan kaki dan bahaya dengan ketepatan yang tinggi.


Selain dua sistem tersebut, DC 100 mempunyai Wave Aid System yang menggunakan alat pengesan (sensor) sonar pada bahagian hadapan bampar dan cermin sisi bagi mengukur kedalaman air.

Seperti sistem Terrain Response, Wade Aid akan mengoptimumkan kemampuan kenderaan ketika melalui laluan berair dengan menuntup corong-corong pada badan, meninggikan kenderaan, memilih gear rendah dan memberi nasihat untuk kelajuan yang selamat.

John Edwards, Pengarah Jenama Global Land Rover berkata: "Defender sentiasa berada di hati jenama Land Rover. Ia melambangkan semangat boleh pergi ke mana sahaja.

"Cita-cita kami adalah untuk menghasilkan Defender serba baharu untuk pasaran global yang mengekalkan DNA asalnya iaitu lasak, versatil, tahan lama dan berkeupayaan. Pada masa yang sama, ianya akan dibangunkan bersesuaian dengan abad ke-21 dan keperluan generasi akan datang."