Friday, November 4, 2011

Air mata Nur Salina atau Sanggul beracun?


Bertemakan Golden Glamour, anugerah Skrin 2011 yang bersiaran secara langsung menerusi TV3 dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 4 November, jam 9 malam ini, dijangka melakar sejarah indah buat industri seni tanah air.


Sejak diperkenalkan pada 1994, anugerah berprestij anjuran TV3 ini, bukan saja menjulang nama karyawan seni tanah air, tetapi turut mengangkat dunia penerbitan ke tahap lebih tinggi.

Jika pada tahun lalu, Anugerah Skrin, meraikan kejayaan pengarah Murali Abdullah, serta pelakon-pelakon tersohor seperti Fauzi Nawawi, Noorkhiriah, Fadhilah Mansor, Bront Palarae, Sharifah Amani, Aaron Aziz, Fazura, Syamsul Yusof dan Shaheizy Sam, siapa pula yang bakal diraikan dalam Anugerah Skrin 2011?

Secara keseluruhan, Anugerah Skrin 2011, mempertandingkan 23 kategori meliputi drama, filem dan penerbitan dalaman serta dua Anugerah Khas iaitu Anugerah Yasmin Ahmad dan Anugerah Artis Harapan Pantene.

Kesemua 23 kategori dipertaruhkan, meliputi 10 kategori drama bakal dipertandingkan manakala jumlah kategori filem yang dipertandingkan kekal tujuh kategori dan enam kategori penerbitan dalaman.

Calon-calon dipertandingkan terdiri daripada terbitan ditayangkan di kaca TV dan pawagam mulai 1 Julai 2010 hingga 30 Jun 2011, selain pencalonan drama berdasarkan catatan jumlah penonton tertinggi mengikut kajian AGB Nielsen Media Research mengikut genre masing-masing.

Bagi kategori drama, 17 buah drama, 10 drama rantaian dan tujuh drama komedi dicalonkan. Manakala untuk kategori filem pula 29 filem terbitan tempatan layak dipertandingkan untuk Anugerah Skrin 2011 ini. Antara drama layak bertanding seperti Iqra, Kemaafan Yang Tertangguh, Berkalung Noda, Air mata Nur Salina, Korban Kasih Abah, Jangan Hantar Aku Ke Neraka, Rendang Madu, Masihkah Ada Sinar, Janji Syurga dan Sanggul Beracun.

Tahun ini, ASK 2011 turut menyampaikan Anugerah Yasmin Ahmad dalam kategori Anugerah Khas Juri untuk kali ketiga sempena menghargai jasa arwah Yasmin Ahmad dalam sumbangannya menghasilkan konsep filem berkualiti dan memperkenalkan bakat-bakat baru di dalam filem terbitannya. Selepas Jaclyn Victor dan Shaheizy Sam, trofi ini akan dianugerahkan kepada bakat baru berpotensi untuk pergi jauh di dalam industri tanah air.

Sementara itu, drama-drama dicalonkan pula adalah hasil penerbitan syarikat memenuhi slot-slot drama di semua rangkaian televisyen setiap minggu.

Bagaimanapun, menerusi pencalonan drama karya menyentuh hati, Air Mata Nur Salina, arahan Erma Fatima dilihat berpotensi menang besar apabila tercalon dalam kategori Drama Terbaik, Pengarah Drama Terbaik, Lakon TV Terbaik dan Videografi Terbaik.

Jika diukur dari segi plot, mesej dan lakonan berkesan dari teraju utamanya, tidak mustahil, Air mata Nur Salina mampu membawa pulang trofi drama terbaik pada tahun ini.

Malah Erma juga pernah membawa pulang trofi drama terbaik menerusi, Tersasar Di Jalanmu, pada tahun 2009 dirasakan tidak mustahil untuk mengulangi kejayaan sama pada tahun ini.

No comments:

Post a Comment