Saturday, November 19, 2011

Travelog Air Asia mulai Ahad ini (GAMBAR)


Air Asia, syarikat penerbangan tambang rendah terbaik di dunia telah menghasilkan sebuah program bercorak destinasi kembara, Travelog AirAsia yang akan disiarkan di TV3 bermula 20 November, setiap Ahad pukul  7.30 malam. 

Terbitan Primeworks Studios, Travelog AirAsia akan bersiaran selama 13 episod dan dihoskan oleh Edd Razhe, pembantu khas kepada Pengerusi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia. Travelog AirAsia juga akan menampilkan selebriti tanahair seperti Maya Karin, Juliana Evans, Linda Hashim, Elfira Roy, Julia Ziegler dan ramai lagi artis-artis terkenal tanahair sebagai pengacara bersama.


MAYA JADI TETAMU SULUNG EDD DI PARIS.
Ikuti pengembaraan mereka ke destinasi-destinasi AirAsia dan AirAsia X di seluruh dunia seperti Paris, Perancis; Hanoi, Vietnam; Jogjakarta, Indonesia; Macau, Hong Kong, Tehran, New Delhi, Guilin di China; serta banyak lagi destinasi menarik dalam rangkaian AirAsia dan AirAsia X.

Datuk Aziz Bakar, Pengerusi AirAsia berkata: "Rancangan Travelog AirAsia ini dihasilkan sempena sambutan ulang tahun AirAsia yang kesepuluh. AirAsia mempunyai rangkaian destinasi yang amat luas dan menarik, dan travelog ini akan memaparkan 13 destinasi yang mempunyai tarikan tersendiri dari aspek pelancongan.

“Di AirAsia, kami sangat menitikberatkan para pekerja yang kami gelar Allstars. Pemilihan Edd Razhe sebagai pengacara adalah di atas latar belakang beliau dalam industri hiburan yang telah beliau ceburi selama hampir 15 tahun dan pernah menjadi pengurus artis. Beliau juga telah bersama AirAsia selama sepuluh tahun sejak AirAsia ditubuhkan."

Menurut Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Operasi, Rangkaian Televisyen, Media Prima Berhad pula,  TV3 sentiasa berusaha tampil dengan idea baru untuk tontonan semua.

"Sebelum ini, kerjasama baik antara TV3 dan AirAsia yang terjalin melalui paparan destinasi-destinasi AirAsia di program Majalah 3, Nona dan Malaysia Hari Ini (MHI) telah mendorong kami untuk menerbitkan program TV pertama untuk AirAsia.

"Travelog AirAsia mempunyai identiti tersendiri di mana para penonton TV3 dapat mengetahui destinasi-destinasi AirAsia dan AirAsia X dan rangkuman produk yang dapat memenuhi permintaan anda apabila bercuti di luar negara,” kata Ahmad Izham.

Episod pertama akan menampilkan hos program Edd Razhe, bersama selebriti jemputan Maya Karin di Paris, Perancis. Antara tempat-tempat menarik yang dikunjungi ialah Menara Eiffel, bandar Deauville, La Valle Village, istana Raja Louis yang memerintah Perancis pada abad ke-15, Chateau de Versailles dan juga pusat popular di tengah bandar, Champs-Elysees.

Terkenal sebagai kota fesyen, Edd Razhe dan Maya Karin juga berkesempatan untuk menonton pertunjukan fesyen Guy Laroche yang diadakan bersempena dengan Minggu Fesyen Paris dan bersiar-siar dengan berbasikal di sekitar bandar Deauville yang tenang.

Selain itu, ikuti pengembaraan menarik Edd Razhe bersama selebriti tanahair yang berkunjung ke destinasi-destinasi AirAsia dan AirAsia X yang lain bersama Juliana Evans di Hanoi, Vietnam; Linda Hashim di Manila, Filipina; Elfira Loy di Jogjakarta, Indonesia dan Julia Ziegler di Taipei, Taiwan. Mereka akan melawat ke tempat-tempat yang menarik serta melakukan aktiviti simbolik kebudayaan masyarakat setempat yang dilawati. 

Perancangan percutian anda akan menjadi lebih mudah dan menyeronokkan melalui pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh AirAsia. Menerusi Travelog AirAsia, anda boleh mendapatkan pelbagai tips untuk merancang perjalanan anda daripada penempahan tempat duduk penerbangan, hotel, tempat-tempat menarik, pengangkutan mahupun pemandu pelancongan melalui pelbagai produk seperti Tune Talk, Tune Hotel dan AirAsiaGo.

Jangan ketinggalan untuk mengikuti pengembaraan Edd Razhe bersama selebriti tanah air menerusi program Travelog AirAsia bermula 20 November, setiap Ahad pukul 7.30 malam, semestinya di TV3.