Saturday, October 22, 2011

Skrip, iPad teman setia Wan Sharmila

TIDAK akan meninggalkan rumah tanpa gajet kesayangan, iPad.
WAJAHNYA sentiasa dihiasi senyuman ceria yang dianggap antara rahsia untuk mengekalkan kecantikan.



Itu antara yang diperkatakan oleh Wan Sharmila Wan Muhamad atau lebih dikenali sebagai Wan Sharmila mengenai dirinya ketika ditemui semasa menjadi tetamu undangan program masakan Mangkuk Tingkat terbitan TV9 baru-baru.



Gadis yang berasal dari Johor Bahru itu mengakui dirinya bukanlah seorang yang rajin ke dapur.


"Saya masih tidak tahu apa resipi yang akan saya masak dalam program masakan hari ini.


"Saya bukanlah seorang yang rajin memasak, mungkin kekangan kerja menjadikan saya lebih suka makan di luar," katanya.


Sesuatu yang menarik tentang Wan Shrmila ialah dia sentiasa tiba awal di lokasi penggambaran.


Saya sentiasa pastikan sampai lebih awal di set, namun ada masanya saya terlewat juga. 
Maklumlah keadaan lalu lintas di Kuala Lumpur ini kadang-kadang di luar jangkaan.



"Selalunya sebelum memulakan penggambaran saya akan mengambil masa bersendirian untuk menyelak skrip. Dan untuk hari ini, tentunya saya akan menghafal beberapa resipi dan bahan masakan pula," kata Wan Sharmila yang akhirnya memilih resipi yang mudah dan sering dimasak iaitu mi kari dan cekodok pisang.


Menurut anak kedua daripada dua beradik itu, walaupun sudah empat tahun menceburi bidang lakonan, dia sebenarnya masih berhadapan masalah untuk memahami dan menghafal skrip yang diterima.


"Saya memperuntukkan sekurang-kurangnya lima jam sehari untuk membaca skrip. Ini kerana saya lebih suka jika saya memahami sesuatu jalan cerita itu dengan lebih mendalam.
"Kini, seperti sudah menjadi tabiat, saya akan membawa skrip ke mana sahaja saya pergi," katanya.


Memilih iPad sebagai teman ketika bosan, Wan Sharmila sebenarnya merupakan seorang yang suka mencabar dirinya dengan bermain game dalam iPad.


Menurutnya, dengan bermain game, ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan tekanan terutama ketika berada di lokasi penggambaran.


"Sebab itu saya memerlukan beg yang agak besar untuk ke mana-mana. Selain skrip, iPad juga merupakan barangan yang mesti saya bawa," katanya.


Menyentuh mengenai hobi, menurut Wan Sharmila yang pernah membintangi drama bersiriTari Tirana, dia mempunyai hobi yang agak pelik.


"Hobi saya adalah membasuh baju. Saya akan menghabiskan masa berjam-jam untuk membasuh baju di rumah jika ada waktu terluang.


"Perasaan apabila melihat baju yang sudah dibasuh itu sukar digambarkan. Namun, apa yang boleh saya katakan, saya akan berasa gembira setiap kali melihat baju yang sudah siap dibasuh tergantung di luar rumah," katanya ketawa.

No comments:

Post a Comment