Saturday, October 22, 2011

Rozita Che Wan bakal kemudi ASK2011


Apabila sahaja nama Rozita Che Wan diumumkan menjadi teman pengacara buat Ally Iskandar untuk turut sama mengemudi majlis anugerah paling berprestij, Anugerah Skrin 2011 pada 4 November nanti, rata-rata tetamu yang hadir melampiaskan rasa tidak yakin terhadap wanita kelahiran Kedah itu.
Gugup ketika berada di pentas sewaktu majlis pelancaran Anugerah Skrin yang lalu, ternyata Rozita agak bimbang berkomunikasi di hadapan ramai orang.
Namun, bagi Rozita, dia menerima tawaran untuk menjadi pengacara Anugerah Skrin itu nanti adalah untuk mencabar dirinya agar boleh pergi jauh daripada apa yang boleh dilakukan sebelum ini.
Nekad dan berkeyakinan tinggi, Rozita turut mengakui banyak menuntut ilmu daripada Ally Iskandar sejak dia ditawarkan tawaran ini.
“Sewaktu mula tawaran ini dibuat oleh pihak TV3, saya menolaknya sebab tidak yakin yang saya boleh mengacarakan majlis sebesar ini. Saya tidak pernah mengacara dan agak gemuruh bila bercakap dengan orang ramai jadi saya tidak berniat untuk mengambil tawaran ini pada awalnya.
“Namun ,  banyak kata-kata semangat diberikan oleh mereka, akhirnya saya terima dan menganggap ini tawaran terbaik pada saya.
“Sekarang ini saya lebih yakin yang saya boleh lakukannya nanti. Skrip juga telah dapat dan saya sudah berlatih untuk bercakap dengan baik di rumah, selain persediaan itu, kami juga akan membuat latihan sebelum majlis bermula bagi memudahkan saya melihat gambaran sebenar majlis ini nanti.
“Bergandingan dengan Ally Iskandar saya rasa ia memang mudah, kami sudah lama berkawan, jadi saya rasa keserasian itu memang ada. Ally banyak mengajar saya selok-belok mengacara, malah sekiranya ada masalah saya lebih senang merujuk kepadanya,”jelas Rozita Che Wan yang meminati Wan Zaleha dan Datin Normala Samsuddin.

No comments:

Post a Comment