Telah diketahui umum bahawa ramai penggemar filem terutama di kalangan pihak media sudah menyaksikan filem sensasi bercorak ‘ganas’ dan ‘panas’ iaitu KLIP 3GP lakonan Mimiefly daripada kumpulan One Nation Emcees.
Kawan baik Kakileaks pun sempat juga pergi tengok filem itu bersama beberapa lagi rakan wartawan hiburan, baru-baru ini.
Terus terang lepas menonton mereka semua sukakan filem ini kerana temanya berbeza dan sangat kena dengan semua orang.
Kena dengan semua orang di sini bermaksud ia mengenai bahana telefon bimbit di kalangan masyarakat. Tentu ramai setuju hari ini boleh dikatakan semua orang ada sekurang-kurangnya satu telefon bimbit.
Antara kes yang selalu kita dengar adalah aksi terlampau dirakam secara sengaja atau curi oleh tuan punya telefon. Itu yang dipaparkan dalam filem ini, selain babak gadis kena rogol, kena pukul hinggalah ‘skodeng’ (intai) dalam tandas!
Selain itu ada juga rakaman imej ‘hantu’ muncul dalam telefon bimbit dan semuanya memberikan keuntungan kepada segelintir pihak yang memuat naik (upload) dan jual kepada pelanggan yang suka tengok bahan pelik-pelik.
Namun, dalam berdebar melihat babak berani dalam filem itu, terkejut pula kerana ada satu babak yang menunjukkan seorang gadis yang tengah marah-marah tiba-tiba mencarut dengan lancang.
Aikk, boleh pula lepas babak sebegitu sedangkan kalau dalam filem Barat, kata-kata mencarut macam itu akan terus dikerat!
Tak dapat dipastikan macam mana babak mencarut itu boleh terlepas pandang dan dengar. Mungkin ketika itu gunting LPF ‘tumpul’ sekejap kot? Harap-harap perkara ini akan dipantau dengan lebih teliti lagi pada masa depan atau mungkin juga versi filem KLIP 3GP kami tengok bukannya versi untuk tayangan umum. Mungkin.
No comments:
Post a Comment