Friday, October 21, 2011

Beli rumah biar bijak, beri untung jangka panjang

MINGGU lalu, kita melihat perbezaan antara membeli dan menyewa rumah terutama bagi mereka yang menetap di kawasan bandar. Ini kerana harga hartanah makin meningkat setiap tahun.



Melabur dalam hartanah adalah satu unsur pelaburan kukuh yang membolehkan anda membina kekayaan terutama jika rumah yang dibeli hendak disewakan.



Berikut adalah antara soalan yang perlu ditanya sebelum anda membeli rumah untuk tujuan pelaburan: 



  • Apakah jenis hartanah yang boleh meningkatkan nilai kewangan saya? 

  • Berapakah jumlah sewa yang boleh saya peroleh daripada hartanah saya? 

  • Adakah saya mampu mengurus dan menyelenggara hartanah bagi tempoh jangka panjang walaupun aliran tunai saya tidak menentu (terutama apabila tiada penyewa)?

  • Disebabkan hartanah adalah aset bukan mudah cair (tidak mudah untuk dijual), adakah ini mendatangkan masalah kepada saya jika saya memerlukan wang tunai kelak? 


  • Tanya diri anda, adakah anda sanggup memikul tanggungjawab sebagai tuan rumah? Ini bukanlah satu tugas yang mudah kerana anda perlu mengutip sewa dan berkemungkinan sewa tidak dibayar atau dibayar lewat. 

    Sekiranya anda tidak berpuas hati dengan penyewa, anda terpaksa menyuruh mereka keluar. Selain itu, anda perlu mengurus baik pulih rumah, mengemaskini pentadbiran hartanah, perjanjian penyewaan, mengisytiharkan hasil pendapatan dan perbelanjaan serta menjelaskan cukai. 

    Memang tidak dinafikan anda boleh mengupah orang untuk menguruskan semua hal itu tetapi ia juga membabitkan kos. 

    Apabila anda membeli rumah sama ada untuk tujuan pelaburan atau kediaman sendiri, adalah penting untuk menitikberatkan faktor lokasinya. 

    Lokasi yang baik membantu anda mendapatkan penyewa, kutipan sewa yang dikehendaki sambil meningkatkan harga rumah anda. 

    Mampukah poket anda? 


    Usia : 31 tahun 
    Pekerjaan : Juruteknik 
    Status : Bujang


    KANESAN mempunyai satu kad kredit dan pinjaman sewa beli berjumlah RM50,000. Beliau hidup sederhana, sangat berhemah dalam menguruskan perbelanjaan dan berhati-hati ketika menguruskan kad kreditnya. 

    Sebagai anak sulung, Kanesan mahu memikul tanggungjawab untuk menjaga keluarga dan adik beradiknya. Biarpun pendapatan sebagai juruteknik hanya sekadar mencukupi untuk menampung perbelanjaan seisi rumah serta komitmen sewa belinya. 

    Selepas beberapa tahun menetap di rumah sewa, Kanesan dipujuk ahli keluarganya untuk membeli sebuah rumah. Mereka menegaskan bahawa mengambil pinjaman perumahan tidak akan merugikan Kanesan kerana rumah terbabt adalah sebuah aset yang akan menjadi miliknya apabila pinjaman dibayar sepenuhnya. 

    Kanesan gembira dengan cadangan itu dan yakin mampu membayar ansuran bulanan pinjaman perumahan dengan menggunakan elaun dan pendapatan kerja lebih masa. Akhirnya Kanesan bersetuju dan mengambil pinjaman berjumlah RM150,000 untuk membeli sebuah rumah. 

    Pada mulanya, Kanesan mampu membayar ansuran pinjaman dengan selesa. Namun, krisis ekonomi yang melanda menjejaskan kedudukan kewangannya. Ini kerana tiada lagi elaun atau pendapatan kerja lebih masa. 

    Akibatnya, Kanesan tidak mampu membayar ansuran pinjaman sewa beli dan pinjaman perumahannya. 

    Kanesan perlu membuat pilihan sama ada membayar pinjaman perumahan atau pinjaman kereta. Disebabkan Kanesan memerlukan kereta untuk ke tempat kerja, beliau memutuskan untuk membayar pinjaman sewa beli keretanya saja. 

    Kanesan mengabaikan pinjaman perumahan dan akhirnya rumah itu dilelong oleh pihak bank. Harga lelongan cuma mampu menampung 70 peratus daripada baki pinjaman kerana rumah terbabit berada di lokasi yang tidak strategik. 

    Baki yang perlu dibayar selepas lelongan adalah sebanyak RM50,000 dan pihak bank sudah mengambil tindakan kebankrapan ke atas Kanesan kerana tidak membayar baki pinjaman. 

    Bimbang kehilangan pekerjaan jika diisytiharkan bankrap, Kanesan menghubungi AKPK untuk mendapatkan bantuan. 

    Apa Kata AKPK 

    PEMBELIAN rumah adalah keputusan kewangan yang sangat penting. Luangkan masa dan fikir panjang, buat pilihan yang terbaik dan sesuai dengan bajet anda. Buatlah penyelidikan sendiri. 

    Sekiranya anda tidak mampu buat masa sekarang, atau tidak ada rumah yang memenuhi cita rasa, anda boleh menyewa terlebih dulu. 

    Sebelum membuat keputusan membeli rumah, pertimbangkan semua faktor kewangan dan bukan kewangan. Sekiranya membeli rumah untuk pelaburan, pastikan anda masih boleh membayar ansurannya walaupun anda tidak dapat menyewakannya. 

    No comments:

    Post a Comment