Tuesday, September 6, 2011

syarikat minyak wangi penaja majlis perkahwinan artis Noraniza Idris

FARASUZIE (kanan) memberitahu, syarikatnya akan menjadi salah satu penaja majlis perkahwinan artis Noraniza Idris (kiri) kelak.

SUDAH lumrah wanita, minyak wangi adalah produk yang paling dekat di hati mereka. Bagi Farahsuzie Sulaiman, 31, dia sanggup melabur sejumlah wang untuk mendapatkan minyak wangi yang digemarinya.


Selaku peminat minyak wangi yang tegar, pada satu ketika, wanita ini terfikir mengapa tidak dia menghasilkan minyak wangi dengan jenamanya sendiri. Itu lebih mendatangkan kepuasan, getus hatinya.

Lantas, niat itu dipanjangkan kepada suaminya, Ahmad Kamil Arifin, 43. Farahsuzie mengambil masa kira-kira dua tahun untuk mencairkan hati suaminya supaya bersetuju dengan cadangannya itu.


“Ya, benar. Saya ambil masa selama dua tahun untuk membuat keputusan. Saya mahu mencari yang terbaik. Lagi satu, saya mahu pastikan saya berpuas hati dengan testimoni yang dijalankan,” jawab Ahmad Kamil yang mengiyakan kenyataan isterinya.

Mereka berdua ditemui ketika majlis pelancaran DD’s Perfume dan majlis meraikan Anak-Anak Yatim Asrama Ampang di Shah Alam. Majlis itu dirasmikan oleh penyanyi irama tradisional terkenal Noraniza Idris baru-baru ini.

Import dari Perancis

Setelah berhempas-pulas mencari mekanisme terutamanya dari aspek pemasaran dan persaingan, maka lahirlah jenama DD.

Nama DD, kata Farahsuzie yang juga pengasas jenama ini adalah singkatan maksud ‘dekat di hati selalu’.

“Saya mahukan produk ini sentiasa meniti di bibir masyarakat dan saya mengimpikan setiap tas tangan wanita ada sebotol minyak wangi jenama DD,” kata bekas graduan Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) ini.

Menjelaskan lebih lanjut tentang minyak wangi terbaharu keluaran SK Fragrance ini, Farahsuzie memberitahu, minyak wangi yang diimport dari Perancis ini diinspirasikan dengan sejumlah jenama minyak wangi antarabangsa.

Antaranya ialah Gucci, DKNY, Polo, Jadore, Burberry, Paris Hilton, Bvlgary, Armani dan JLo.

Sebanyak empat set haruman dengan empat jenama yang berbeza diperkenalkan. Pek-pek tersebut iaitu pek famili (RM60), pek wanita (RM55), pek lelaki (RM55) dan pek untuk remaja (RM55).

“Kami ingin menunaikan impian masyarakat di luar sana yang mahu memakai minyak jenama antarabangsa tetapi tidak berkemampuan.

“Jika tidak mahu membeli secara pek, pelanggan boleh membeli sebotol minyak wangi pada harga RM15 sahaja. Ia sesuai dipakai pada bila-bila masa,” kata wanita ini sambil memberitahu bau wangiannya mampu bertahan selama dua hari.

Bacaan doa

Pasangan suami isteri ini sedar dengan saingan produk-produk yang sealiran dengannya di pasaran sekarang. Ditanya apa keistimewaan yang dibawa oleh jenama ini berbanding dengan yang lain, jawab Ahmad Kamil:

“Pati haruman yang dibawa dari Perancis ini seratus peratus tulen. Kepekatan minyaknya lebih tinggi, daya tahan haruman lebih lama dan paling penting harganya mampu milik.”

Selain itu, produk ilham pasangan serasi itu turut membawa kelainan apabila minyak wangi yang dibekalkan dibacakan sekali dengan ayat al-Quran.

“Semasa minyak wangi ini dipakejkan, ia dibacakan dengan surah Yusof (ayat 4) dan surah Thoha (ayat 39) oleh seorang ustaz bertauliah,” terangnya.

Bagaimana idea itu dirintis? Jawab lelaki yang berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur itu, pemakaian minyak wangi harus disertakan dengan keterampilan dan keyakinan.

“Justeru, surah Yusof dibacakan bertujuan untuk membangkitkan seri kecantikan sementara surah Thoha lebih kepada membentuk keyakinan diri, jadi, kami memilih pendekatan itu,” ujar Ahmad Kamil.

Meskipun baru lima bulan di pasaran, pasangan suami isteri ini tersenyum puas. Ini berikutan jenama yang dibawa mereka mendapat sambutan hangat di pasaran.

Untuk fasa pertama, sebanyak 2,000 unit telah terjual.

Stokis dan ejen makin bertambah meliputi Sabah dan Sarawak, ujar Farahsuzie.

Justeru, kepada yang berminat untuk terlibat sama dengan perniagaan ini, anda sangat dialu-alukan.

No comments:

Post a Comment