Sunday, September 11, 2011

Sinar FM tawar duit raya RM70,000

PARA petugas Sinar FM bersama para pemenang peraduan Perkataan Pertama yang dianjurkan pada Mac lalu
EKORAN sambutan yang amat menggalakkan terhadap peraduan Perkataan Pertama anjuran Sinar FM pada Mac lalu, stesen muzik retro terbaik ini kembali mengadakan kempen yang menawarkan hadiah duit raya RM70,000 kepada pendengar.


Mulai 5 September lalu sehinggalah 30 September nanti, setiap Isnin hingga Jumaat, kempen Perkataan Pertama Kembali menemui para pendengar. Untuk memenangi sekurang-kurangnya RM300, peminat-peminat muzik retro akan diuji sama ada benar-benar mengenali dan menghafal lirik lagu yang menjadi kegemaran mereka. Lagu-lagu tersebut pastinya tidak asing bagi pendengar setia Sinar FM kerana selalu berkumandang di stesen ini.


Perkataan Pertama Kembali memerlukan pendengar mengingati perkataan pertama sesebuah lagu. Apabila menerima isyarat yang ke udara, jadi pemanggil pertama menghubungi penyampai bertugas untuk mengambil bahagian dalam peraduan ini.

Sebuah sedutan lagu akan diputarkan dan peserta akan hanya diberi 10 saat untuk memberitahu apakah bait pertama lirik lagu tersebut. Peserta perlu ingat bahawa bukan tajuk lagu itu yang perlu diberi, tetapi perkataan pertama lirik lagu tersebut.

Jika berjaya memberikan jawapan tepat, habuan RM300 akan menjadi milik pemenang. Jika tidak, nilai tersebut akan dicampurkan dengan jumlah wang tunai di slot yang berikutnya. Setiap slot akan memainkan sedutan lagu yang berbeza.

Juga terdapat sekurang-kurangnya satu segmen bonus setiap hari. Pada waktu bonus, RM1,000 lagi akan dibawa pulang sebagai tambahan pada RM300 yang diperolehi.

Sinar FM menyediakan pembayang untuk lagu dalam jam bonus, yang boleh diperoleh dari akhbar Kosmo! setiap hari Isnin hingga Jumaat.

Pengurus Rancangan Sinar FM, Rostam Said menyatakan penghargaan kepada semua pendengar yang menjayakan Perkataan Pertama di Sinar FM pada bulan Mac lalu dan mengalu-alukan lebih ramai pendengar mengambil bahagian pada kali ini.

ROSTAM (tengah) bersama para penyampai Sinar FM
ROSTAM (tengah) bersama para
penyampai Sinar FM.
"Apabila kami memperkenalkan Perkataan Pertama pada awal tahun ini, ia merupakan julung-julung kali konsep program seumpamanya diperkenalkan melalui radio di negara ini, dan ternyata Sinar FM membuat percaturan yang tepat kerana sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Aktiviti ini menjadi bualan di mana-mana sahaja, dan kami menerima begitu banyak panggilan sepanjang hari, daripada mereka yang ingin mencuba nasib.

"Namun yang lebih penting, kami harap pendengar akan seronok menyertai dan mengikuti Panggilan Pertama kembali, seperti mana kami berbesar hati menyediakan hiburan berkualiti kepada semua," kata Rostam.

Tambahnya, Sinar FM saban hari makin mendapat tempat di hati pendengar radio. Variasi lagu-lagu retro dan terkini yang diputarkan menambat hati pendengar dan penggemar muzik dari pelbagai lapisan umur dan latar belakang.

No comments:

Post a Comment