Wednesday, September 14, 2011

RIM mahu kembalikan 'taring' AIM

AIM merupakan majlis anugerah yang mengiktiraf bakat seni penggiat
seni atas dasar mutu dan kredibiliti produk muzik yang dihasilkan mereka.
SEJAK diperkenalkan pada tahun 1993 sehingga kini, Anugerah Industri Muzik (AIM) dilihat sebagai platform untuk penyanyi dan pengkarya diiktiraf.


Namun begitu, sejak ia mula diperkenalkan sehingga tahun ini memasuki tahun ke-18 ia dianjurkan, AIM sering berdepan dengan isu kontroversi yang tidak pernah berkesudahan.

Bermula daripada senarai pencalonan sehinggalah kepada senarai pemenang, pasti ada ketidakpuasan timbul di kalangan karyawan mahupun peminat setia program hiburan tersebut.
Malah, anugerah yang dianggap berprestij satu ketika dahulu dilihat tidak lagi dianggap relevan untuk diteruskan. Saban tahun ia diadakan, AIM dilihat semakin hilang kegemilangan dan ‘taring’ nya.
Sememangnya amat sukar untuk memuaskan semua pihak lebih-lebih lagi jika melibatkan pertandingan berprestij seperti AIM.
Jika selama ini AIM dianjurkan oleh Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), namun AIM 18 yang bakal berlangsung pada 12 November ini akan diambil alih sepenuhnya oleh pihak pengurusan AIM yang baharu iaitu Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dilihat cuba mencipta kelainan supaya anugerah itu dilihat lebih bermutu.
Namun begitu, ia sudah berdepan dengan beberapa kontroversi. Antara kontroversi yang tercetus ialah pengurangan jumlah kategori yang dipertandingkan.


Tahun ini hanya 19 anugerah yang akan dipertandingkan berbanding AIM sebelum ini yang mempertandingkan sebanyak 29 anugerah.
Perkara itu berlaku kerana pada tahun ini tiada lagi kategori Album Terbaik untuk setiap genre muzik, sebaliknya kesemua album yang layak bertanding akan dihakimi untuk kategori Album Terbaik Tahunan.
Mengulas kepada perubahan kategori ini, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola AIM 18 yang juga merupakan Naib Pengerusi RIM, Adrian Lim memberitahu, pengurangan kategori dalam AIM itu perlu dilakukan kerana tidak ramai penyanyi yang menghasilkan album sekarang.
“Perubahan ini mencerminkan situasi industri muzik tempatan sekarang ini. Hakikatnya, memang tidak ramai artis yang muncul dengan album baharu pada setiap tahun.
Ramai penyanyi yang menghasilkan single sahaja. Jadi, tidak relevan untuk kita kekalkan kategori Album Terbaik untuk setiap genre muzik.
“Lebih baik, semua album yang layak bertanding dihimpunkan untuk satu kategori sahaja, iaitu Album Terbaik Tahunan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Ulas Adrian lagi, walaupun kategori album digugurkan namun lagu terbaik kategori pop, balada dan etnik masih dikekalkan.
“Sebarang perubahan atau rombakan dalam AIM tahun ini dibuat menerusi jawatankuasa yang dianggotai enam ahli daripada syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa,” katanya lagi.
Adrian turut mengakui sukar untuk membuat semua pihak suka dengan perubahan yang cuba dilakukan terhadap AIM.
“Memang kita tidak boleh buat semua orang suka dengan keputusan AIM. Pasti akan ada yang suka dan akan ada yang tidak suka lebih-lebih lagi apabila orang baharu mengambil alih.


“Saya akui AIM berdepan dengan isu apabila kami mengumumkan senarai kategori yang akan bertanding tahun ini. Untuk itu, kami akan mengadakan beberapa kali sidang akhbar sebelum AIM berlangsung.
“Malah, bagi mengelakkan isu pemilihan pemenang berulang lagi, kami akan mengadakan sidang akhbar selepas AIM 18 berlangsung bagi menjawab segala pertanyaan mengenai pemenang,” ujarnya.
Selain perubahan dari segi kategori, Adrian memberitahu, terdapat dua lagi rombakan yang dibuat iaitu tarikh dan lokasi.
Biasanya AIM dibuat pada bulan April atau Mei tetapi selepas RIM ambil alih AIM, acara tersebut bakal berlangsung pada bulan November.
Dalam pada itu jika sebelum ini AIM berlangsung di PWTC, kali ini lokasinya dipindahkan ke Stadium Bukit Jalil.
Menurut Adrian, ia bermatlamat supaya semua peminat dapat hadir dan meraikan artis-artis idola mereka.
“Perubahan lain yang akan dibuat ialah para artis yang melakukan persembahan tidak begitu ramai dan tempoh acara tidak panjang. Malah, artis antarabangsa turut terlibat pada malam anugerah tersebut,” katanya.
YUNA dan Faizal Tahir antara pemenang
pada AIM 17 yang berlangsung pada tahun lalu
.
Tambahnya, antara pelan tindakan lain yang diperkenalkan RIM ialah penganjuran AIM dalam pelbagai bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Cina dan India yang akan dilakukan secara berasingan.


“Ia juga tidak lagi dirangkumkan pada satu malam. Objektif penganjuran secara berasingan adalah untuk memberi peluang kepada artis tempatan yang popular di luar negara tetapi kurang mendapat pengiktirafan di negara sendiri dapat diketengahkan kepada peminat tempatan,” ujarnya.
Format penjurian
Menjawab tentang format perjurian pula, Andrian menjelaskan PAIMM masih bertanggungjawab untuk menilai setiap pencalonan yang dihantar. Bagaimanapun, berlaku sedikit pindaan untuk kriteria kelayakan.
“Untuk AIM 18 ini, hanya lagu-lagu yang 100 peratus digubah dan ditulis oleh warganegara sahaja yang layak bertanding.
“Selain daripada itu, memang tidak boleh dan tidak ada pengecualian,” katanya yang berbuat demikian kerana ingin memberi pengiktirafan yang sepatutnya kepada komposer dan komposisi tempatan selain menggalakkan mereka untuk menghasilkan lebih banyak karya yang bagus pada masa hadapan.
Lokasi penganjuran AIM 18 pula akan beralih ke Stadium Putra, Bukit Jalil dan akan bersiaran secara langsung di saluran Astro Ria.
Antara kategori-kategori yang masih dipertandingkan ialah Artis Baru Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Lelaki), Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita), Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik Di Dalam Lagu, Kulit Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik, dan Video Muzik Terbaik.
Dipercayai beberapa rombakan dan proses kemas kini akan dilakukan kepada AIM supaya anugerah itu menjadi lebih telus dari segi kriteria penghakiman, pemilihan penyampai anugerah, pengacara dan penyanyi yang akan membuat persembahan pada malam anugerah itu.
Mengulas mengenai RIM yang kini mengambil alih sepenuhnya pengelolaan AIM daripada PAIMM, kata Adrian, ia disebabkan kontrak AIM dengan PAIMM sudah tamat.
“Memang hakcipta AIM adalah milik RIM. Biasanya kontrak diperbaharui tiga tahun sekali. RIM ambil alih AIM tahun ini kerana mahu melakukan penjenamaan semula AIM supaya ia jadi lebih menarik dan hebat,” ujarnya.
Sementara menurut Pengerusi RIM, Norman Abdul Halim, sudah tiba masanya RIM mengambil alih pengurusan AIM sepenuhnya selepas AIM dilihat semakin hilang serinya. Malah AIM juga berdepan dengan masalah untuk mendapat penajaan.
“Sejak diperkenalkan, AIM masih belum memenuhi secukupnya keperluan perubahan semasa. Pihak RIM juga terpaksa ambil alih AIM sebab ia berdepan dengan masalah. Bila sudah ambil alih kita mula dengan masalah sebab tidak ada syarikat penaja.
“Oleh yang demikian, RIM harus mengambil langkah berani untuk malam anugerah AIM 2011 agar ia boleh dikemaskini dan jenamanya boleh diperbaharui supaya masih rasional kepada penonton tempatan,” katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbukanya di Cyberjaya, Selangor baru-baru ini.
Norman juga menolak AIM 18 turut berdepan dengan kontroversi apabila senarai kategori dan juga tarikh tayangannya ditunda.
“Senario semasa memang sudah banyak berubah kerana artis mendapat kelonggaran untuk membuat single.
“Disebabkan itu, pencalonan album terbaik bagi setiap genre tidak lagi diadakan kerana tidak ramai artis yang mempunyai album baharu dan yang ada pula tidak menepati kriteria.
Kata Norman lagi, penundaan itu juga tiada kena mengena dengan pengeluaran bahan muzik yang dikatakan semakin merosot. Sebaliknya, penghasilan bahan muzik secara digital berkembang dengan amat pesat.
“Cuma masalah yang kita hadapi untuk mendapatkan penyiar baharu selepas kontrak bersama ntv7 tamat tahun lalu.
“Namun begitu, kami baru saja mendapat persetujuan daripada Astro yang sudi bekerjasama untuk menyiarkan acara kemuncak AIM untuk tempoh tiga tahun,” ujarnya.
Legasi AIM

PENYANYI tersohor Indonesia, Melly Goeslaw antara karyawan muzik yang pernah diberikan pengiktirafan pada tahun 2001 menerusi AIM 8 untuk kategori Album Indonesia Terbaik.

Dalam pada itu, menyingkap sejarah AIM yang dianjurkan setiap tahun sejak 1993, ia merupakan pentas utama untuk pengiktirafan dan penghargaan buat bakat-bakat seni muzik yang paling bermutu di tanah air.
Acara itu boleh dikatakan menyerupai Grammy Awards di Amerika Syarikat (AS) dan Brit Awards di United Kingdom (UK).
AIM yang selama ini dianjurkan PAIMM sebenarnya disokong RIM serta pihak media penyiaran dan syarikat komunikasi sebagai penaja utamanya.
Keputusan yang diumumkan pada acara tersebut setiap tahun, iaitu nama penerima anugerah ditentukan dan dimuktamadkan oleh ahli-ahli PAIMM, sehinggalah AIM 18 apabila RIM membuat keputusan mengambil alih AIM sepenuhnya.
Bercerita mengenai sejarah AIM lebih lanjut, Pengarah Urusan PAIMM, Jennifer Thompson memberitahu, pertama kali AIM berlangsung pada tahun 1993 adalah secara langsung di Hotel Hilton Kuala Lumpur. Ketika itu hanya 11 kategori dipertandingkan.
“Tahun 1994 pula, AIM berehat dan disambung semula pada tahun 1995. AIM 2 kemudiannya berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
“Pada tahun 1996 hingga 2000 pula, stesen penyiaran Astro mengambil alih dalam menyiarkan AIM dan pada tahun 2001 hingga 2010 AIM kemudiannya beralih ke ntv7,” katanya.
Jennifer yang sudah 15 tahun mengelolakan AIM memberitahu, untuk mengekalkan AIM sebagai sebuah anugerah yang berprestij dan glamor saban tahun bukanlah sesuatu yang mudah.
Cabarannya apabila pihak PAIMM perlu lakukan lebih bagus daripada dari tahun ke tahun agar ia tidak menjadi kritikan ramai pihak.
Namun, dia sedar dalam pertandingan tidak semua yang menyokong pemilihan pemenang.
“Semua orang ada hak untuk pilih artis kegemaran mereka tetapi pemenang dipilih berdasarkan pemilihan juri. Segala keputusan harus diterima.
“Senarai pemilihan pencalonan dibuat berdasarkan syarikat rakaman. Dari segi pemilihan pemenang baharulah PAIMM yang bertanggungjawab,” katanya yang berharap AIM tahun ini dapat menyambung legasi kecemerlangan AIM sebelum ini.

No comments:

Post a Comment