Sunday, September 18, 2011

Raja Libas balas dendam

MENGANGKAT simbolik semangat dan perpaduan dalam memperjuangkan khazanah sepak takraw, filem lakonan Rosyam Nor dan Scha Al-Yahya, Libas, jelas memberikan sesuatu yang berbeza buat penonton tempatan.


Tidak sekadar pada plot ceritanya yang turut diwarnai elemen komedi ringan dan konsep kesukanan, Libas turut menawarkan hiburan yang punya peluang cerah dalam memancing selera peminat filem. Mana tidaknya, lebih separuh daripada pembentangan hasil akhirnya dibantu teknik imej janaan komputer (CGI) yang kemas dan selari dengan jalan cerita.

Menerima sentuhan pengarah yang sebelum ini banyak menerbitkan drama televisyen namun pertama kali mencuba ke layar lebar, Jurey Latif, Libas masih boleh dianggap baik dan punya kekuatan sendirinya.

Menurut Jurrey yang ditemui pada majlis tayangan perdana filem ini malam Rabu lalu, dia hanya mengharapkan agar penonton dapat menerima hasil kerjanya dan memahami setiap mesej yang ingin diterjemahkan menerusi visualnya.

“Saya sentiasa terbuka dengan apa saja kritikan atau pandangan daripada sesiapa kerana jujurnya sebagai pengarah yang masih baru dalam pengarahan sesebuah filem, perlu diakui masih banyak lagi ruang untuk saya pelajari. Maklumlah orang baru mustahil terus sempurna terutama dalam penghasilan kerja kreatif seperti ini.

“Memang terlalu besar cabaran kepada saya dalam mengarahkan filem ini kerana selai bajet penerbitannya yang besar, saya juga perlu berdepan dengan teknik pengarahan yang bakal digarap bersama teknik CGI. Jika salah percaturan atau perkiraan sebagai pengarah, ia akan tampak palsu dan sangat tidak kemas.

“Namun saya bersyukur kerana semua barisan pelakon dan tenaga kerja produksi membantu dan tidak henti-henti memberikan yang terbaik untuk sama-sama menjayakan Libas. Saya sendiri bertuah kerana semua pelakon yang terbabit begitu profesional dan tidak susah untuk dibentuk kerana masing-masing sudah berpengalaman terutama Rosyam.

“Bagaimanapun, apa yang lebih penting adalah reaksi dan penerimaan penonton kerana saya inginkan setiap satu cerita yang ingin disampaikan berjaya sampai kepada mereka yang menontonnya. Memang plot ceritanya padat dengan komedi dan aksi dengan bantuan CGI, namun kalau diperhatikan dengan tepat, banyak mesej yang cuba saya selitkan,” jelasnya panjang lebar.


Libas yang bakal memasuki pawagam pada 29 September ini mengisahkan sekumpulan anak muda yang bersatu dalam memperjuangkan sukan sepak takraw yang kononnya sudah lama dirampas rakyat Thailand selepas berjaya menewaskan pasukan tempatan beberapa tahun lalu.

Bukan saja kalah, malah pasukan Malaysia juga kehilangan salah seorang ahli pasukannya kerana menjadi mangsa taktik kotor pasukan lawan.

Lantas ketua kumpulannya yang juga mengalami kecederaan teruk di kaki, Adnan Saladdin lakonan Rosyam, didesak jurulatihnya, lakonan Mohd Razib Salimin untuk kembali bertarung bagi merampas kembali maruah mereka.

Namun sukarnya kali ini, Raja Libas harus mencari pengganti bagi melengkapkan pasukannya seramai tiga orang. Dari situ, Adnan yang kini hanya berperanan melatih saja bertemu dengan Hamadi, lakonan Johan (Raja Lawak) yang ada kebolehan menimbang bola, Kumok lakonan bersahaja pendatang baru, Fadzly Kamarulzaman serta teman lamanya, Megat lakonan Beego.

Bagaimanapun, timbul pula pelbagai konflik lain yang membuatkan Libas lebih menarik dan berbeza berbanding karya lain.

“Mengarah filem dan menerbitkan sesebuah naskhah layar lebar menuntut banyak tanggungjawab, komitmen dan risiko. Kerana itu, saya tidak mahu mengarahkan sesebuah filem yang bagai melepaskan batuk di tangga, sebaliknya biarlah apa yang ingin saya pamerkan nanti mampu memberikan sesuatu kepada penonton yang datang menyokongnya.


“Saya masih ingat apabila tiba-tiba saya seakan-akan ingin menari apabila menyaksikan lakonan John Travolta dalam Saturday Night Fever dulu. Kesannya begitu mendalam dan lakonan bersahaja penuh jujur itu berjaya menarik minat saya sebagai penonton untuk turut sama mengikut gerak lakonannya.

“Justeru, saya amat mengharapkan agar penonton nanti boleh mendapat manfaat dan pengajaran yang sarat saya letakkan menerusi plot ceritanya. Mana tahu jika ramai pula golongan muda selepas ini yang mula minat mencuba permainan sepak takraw,” katanya.

Rosyam pula menyifatkan Libas sebagai sebuah filem tempatan yang patut diberi perhatian kerana hasil kerjanya yang menarik dan teliti turut mengharapkan agar penonton dapat menilainya sendiri.

“Walaupun sudah lama bertapak sebagai pelakon, Libas memberikan sesuatu yang berbeza kepada saya sebagai seorang pelakon. Bukan saja wataknya yang besar dan berbeza, malah saya perlu banyak bermain dengan imaginasi untuk membayangkan kesan khas pada sebiji bola yang diwujudkan dalam kebanyakan babaknya.

“Saya sendiri tidak sabar menanti lebih dua tahun selepas filem ini siap penggambaran kerana menerusi filem ini, saya pernah cedera parah dan kesannya hingga ke hari ini iaitu tulang bahu saya terkeluar ketika menghidupkan watak dibawa.

“Cabaran lain juga, saya perlu mencari keserasian bersama Scha yang jauh lebih muda daripada saya, namun penuh dengan mainan emosi dan rasa kasih sayang antara kami,” katanya.

Scha yang bertuah kerana diberi kepercayaan bergandingan bersama hero Malaya pada awal kemunculannya sebagai pelakon, dua tahun lalu hanya melihat pengalaman sepanjang penggambaran itu banyak mendewasakannya.



“Alhamdulillah, walaupun masih baru ketika itu, saya banyak dibantu pengarah, tenaga kerja produksi dan barisan pelakon lain terutama Rosyam. Walaupun dia tegas di lokasi penggambaran, namun keserasian dan keselesaan saya sebagai pelakon untuk bergandingan dengannya adalah bantuan daripada Rosyam sendiri,” katanya.

No comments:

Post a Comment