Kementerian Luar telah menghantar Duta Besar Malaysia ke Libya Datuk Zulkifli Yaacob ke Somalia untuk meninjau langkah-langkah keselamatan di negara itu sebelum misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke sana, kata menteri berkenaan Datuk Seri Anifah Aman.
Anifah berkata, Zukifli ke Somalia bagi membuat kerja-kerja lapangan dan penilaian yang diperlukan untuk misi berkenaan.
“Kita hendaklah pastikan bahawa negara yang kita akan pergi, diberikan perlindungan yang secukupnya dan memuaskan, di mana mereka telah lakukan, tetapi ini adalah sesuatu yang tidak dijangkakan,” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan jenazah jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor dari Mogadishu di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang hari ini.
Noramfaizul, 39, terkorban di Somalia pada Jumaat lalu setelah terkena tembakan curi ketika dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan menaiki pacuan empat roda dari memberikan bantuan kepada mangsa kemarau dan kebuluran oleh Misi Bantuan Kemanusiaan Putra 1Malaysia. Tembakan itu terkena di bahu Allahyarham dan menusuk ke paru-parunya.
Tidak wajib
Anifah berkata Wisma Putra pada lazimnya membantu misi bantuan kemanusiaan tempatan menjalankan kerja-kerja lapangan dan penilaian keselamatan di negara yang akan dikunjungi.
Sungguhpun kedutaan Malaysia di luar negara tidak diwajibkan untuk mengemukakan laporan kepada kementerian, ia bagaimanapun pada lazimnya akan mengemukakan butir-butir penilaian berkenaan kepada kementerian, kata beliau.
"Setelah mendapati semua maklumat, kita akan membantu dalam mendapatkan bantuan dari negara-negara yang mahu dituju (oleh misi kemanusiaan).
"Kita akan berbincang dengan mereka (penganjur misi), sama ada negara tersebut selamat atau tidak, dan apa jenis perlindungan yang dapat diberikan untuk mereka. Kita akan bantu mereka sebaik mungkin," katanya.
Beliau berkata bagaimanapun keputusan untuk meneruskan sebarang misi bergantung pada penganjur kerana mereka sepatutnya menyedari tentang risiko yang akan dihadapi.
Di zon bergolak, apa-apa boleh berlaku, walaupun perlindungan diambil, tambah beliau.
Anifah juga berharap agar kerajaan Somalia, yang berjanji untuk menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kejadan itu, akan memberikan laporan kepada beliau secepat mungkin.
No comments:
Post a Comment